Unit Hal Ehwal Agama Lain di Sarawak dapat peruntukan RM30 juta tahun depan

Sebanyak RM30 juta diperuntukkan kepada Unit Hal Ehwal Agama Lain (UNIFOR) tahun depan, iaitu peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata komitmen kerajaan negeri dalam penjagaan agama lain adalah manifestasi kerajaan negeri menjaga kebajikan semua kepercayaan diamalkan di Sarawak.

“Kecantikan dan keunikan Sarawak dapat dilihat dengan kehidupan pelbagai agama, selain sambutan hari penting bagi agama masing-masing yang disambut dalam suasana harmoni. Kita sudah sekian lama menghormati kepercayaan satu sama lain.

Bukan itu sahaja, penganut Islam dan Kristian juga mampu hidup dalam satu bumbung sama dan langsung tidak menimbulkan isu,” katanya dalam Perutusan Sempena Krismas.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, berkata keharmonian Muslim dan Kristian kekal dipelihara menerusi perkongsian tempat parkir kereta antara masjid dan gereja yang mampu dilihat di Miri.

“Mereka berkongsi tempat parkir kereta pada hari kebesaran Jumaat dan Ahad, sekali gus membuktikan semangat persaudaraan kuat yang disemai, termasuk saling memahami antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, konsep “bagiku agamaku, bagimu agamamu” yang menjadi ramuan penting perlu dipertahankan demi memastikan kelangsungan keharmonian antara agama di Sarawak sejak ratusan tahun lalu.

Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan negeri komited mengembangkan kesatuan dan kefahaman yang tidak tertakluk kepada retorik semata-mata, bahkan dibuktikan menerusi tindakan.

“Antara inisiatif termasuk mewujudkan UNIFOR bagi membantu masyarakat bukan Muslim membina dan membaiki rumah ibadat masing-masing,” katanya.

Katanya, beliau berharap rakyat Sarawak mempunyai kekuatan dan keberanian menentukan nasib sendiri tanpa bergantung kepada bantuan pihak lain.

“Menjadi sebahagian daripada Malaysia tidak menghalang Sarawak menentukan aspirasi dan harapan rakyatnya. Negara seperti Kanada juga mempunyai kawasan autonomi sendiri di mana kawasan berkenaan juga maju dalam konteks bernegara,” katanya.

SUMBER: BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: