Tradisi ‘tukar palak kuih’ segar di Sebandi

Gambar daripada FB Syikien Ikin

Acara tradisi masyarakat setempat seperti ‘tukar palak kuih’, berselawat, berzikir serta cukur jambul memeriahkan sambutan Maulidur Rasul di Kampung Sebandi Ulu, Asajaya, pada Selasa.

Program bermula seawal 8 pagi melibatkan masyarakat kampung yang berselawat, berzikir dan menikmati jamuan makan tengah hari di Masjid Bumiputera Kampung Sebandi Ulu yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuching itu.

Ketua Kaum (ketua kampung) Kampung Sebandi Ulu, Jama@Rahmah Baylai, 43, berkata majlis kemudiannya diteruskan dengan majlis cukur jambul melibatkan 10 bayi berusia antara empat hingga lima bulan.

“Tradisi menyambut Maulidur Rasul dengan penganjuran pelbagai acara ini telah bermula di kampung ini sejak 1940-an lagi.

Penduduk kampung menyertai acara berselawat, berzikir serta menikmati jamuan tengah hari yang dimasak secara bergotong-royong bermula pagi tadi. Bermula 2 petang pula program diteruskan dengan acara cukur jambul,” katanya ketika ditemui.

Rahmah berkata kemuncak acara diteruskan dengan ‘tukar palak kuih’ selepas solat Asar.

Kata beliau acara menukar palak kuih disertai hampir 1,000 penduduk kampung dari 200 rumah di kampung itu.

“Setiap rumah akan membawa sekurang-kurangnya satu palak kuih, namun begitu ada juga rumah yang membawa lebih dari satu palak kuih,” kata wanita itu yang telah berkhidmat sebagai Ketua Kaum selama lapan tahun

Palak kuih bererti kek yang diletakkan di tengah talam kemudiannya dikelilingi kuih-kuih asli lain seperti bahulu, sepit, peneram, kuih cap (kuih loyang) dan sebagainya.

Rahmah berkata tukar palak kuih bermaksud setiap talam berisi kek serta kuih-kuih asli yang dibawa penduduk kampung semasa acara itu akan ditukar sesama penduduk lain.

“Penganjuran acara hari ini turut membuka peluang kepada penduduk kampung yang mengusahakan perniagaan membuat kek dan kuih-kuih asli di sini menjana rezeki apabila palak kuih (kek) dibeli terus daripada mereka,” katanya.

Sumber FB Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: