Tok Nan dalam kenangan.

Hari ini genap dua tahun Allahyarham Tok Nan meninggal dunia.

11 Januari 2017.

Pada tarikh itu, rakyat Sarawak kehilangan Ketua Menteri yang amat mereka sayangi.

Jasanya amat besar. Pehin Sri Adenan Satem pemimpin berjiwa rakyat.

Seorang ahli politik yang memahami nadi rakyat.

Pada awal kariernya sebagai Ketua Menteri Sarawak Kelima, Allahyarham menegaskan khidmatnya untuk semua kaum dan agama.

Ketika mengetuai pimpinan Sarawak, beliau begitu lantang memperjuangkan hak dan kepentingan Sarawak.

‘Jaga Sarawak menar-menar’ – itu ungkapan keramat Tok Nan yang masih terngiang-ngiang di telinga rakyat Sarawak.

Ungkapan itu amat bermakna, yang membuktikan Allahyarham amat mencintai Sarawak.

Tok Nan menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS), Kota Samarahan, jam 1.30 tengah hari.

Tok Nan mengambil alih jawatan Ketua Menteri daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 1 Mac 2014.

Kerjaya Adenan dalam bidang politik bermula tahun 1979 setelah dia mewakili Menara Tuang dalam piliha raya negeri, dan berjaya mengalahkan Parti Rakyat Jati Sarawak (Pajar) dengan undi majoriti 2,797.

Beliau seterusnya bertanding mewakili kerusi Batang Sadong dan berjaya mengalahkan calon PAS dengan undi majoriti 9,371.

Kejayaan ini membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun 2004 dan beliau kembali merebut kerusi dun negeri dalam pilihan raya 2006. Beliau memenangi kerusi Tanjung Datu.

Tok Nan dilantik sebagai penasihat khas Ketua Menteri pada tahun 2010 sebelum dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas Sarawak selepas berjaya mengekalkan kerusi Tanjung Datu.

Antara jasa Tok Nan, memperjuangkan hak autonomi Sarawak, menghapuskan tol, membanteras pembalakan haram, mengukuhkan perpaduan kaum dan agama dan banyak lagi.

Tidak hairan, BN Sarawak menang besar ketika Allahyarham mengetuai parti itu pada PRN 2016.

Allahyarham amat disegani ‘seteru’ politik.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: