Tiga kampung bakal disambung dengan sistem grid ALAF

Tiga kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang yang belum disambungkan dengan bekalan elektrik dikenalpasti sebagai permohonan lewat.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, Kampung Betong, Kampung Landeh dan Kampung Sebuak akan disambungkan dengan sistem grid di bawah Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF).

“Permohonan di ketiga-tiga kampung ini dikenalpasti sebagai permohonan lewat dan akan disambungkan dengan sistem grid sedia ada,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Lo bertanya mengenai status kira-kira 100 permohonan untuk Skim Elektrik Luar Bandar (RES) di DUN Batu Kitang.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, ALAF yang diwujudkan awal tahun ini untuk kawasan luar bandar yang mana pembekalan elektrik di bawah RES sudah siap.

Ujarnya, dana tersebut juga diwujudkan untuk pemohon rumah belum siap atau rumah baharu dibina selepas bekalan disediakan.

“Bekalan menerusi ALAF biasanya untuk rangkaian bekalan tekanan rendah dan perkhidmatan rangkaian ke rumah.

“Permohonan dibuat menerusi JKKK, ketua kaum, ketua kampung atau tuai rumah dan kemudian mengemukakannya kepada pejabat daerah masing-masing sebelum diproses diperingkat kementerian,” ujarnya.

Menurutnya, program ALAF akan diteruskan sehingga liputan sepenuhnya dicapai menjelang 2025.

Sumber: Jiwa Bakti FB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: