Tiada dana daripada persekutuan, kerajaan Sarawak teruskan sukat tanah guna dana negeri

Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan kerja penyukatan tanah dan pemberian surat hak milik kepada pemiliknya yang sah.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, meskipun kerajaan pusat tidak lagi memberikan dana untuk proses penyukatan tanah, hak rakyat haruslah diberikan kepada pemiliknya.

“Kerana itulah, Ketua Menteri kita Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah meluluskan RM40 juta baru-baru ini untuk kerja pengukuran perimeter dan pengukuran lot-lot individu,” kata Datuk Amar Awang Tengah.

“Setakat ini, tiada penguguman dana untuk perimeter survey dari kerajaan pusat. Kita terpaksa mengambil inisiatif kita sendiri kerana kerajaan negeri memperakui kepentingan pemberian surat hak milik tanah,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian di majlis Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera untuk kawasan Mongkos, Kedup, Tebedu dan Padawan di Kampung Pichin, Serian, pada Jumaat.

Awang Tengah berkata, Kerajaan GPS mengakui bahawa isu tanah merupakan isu yang dekat di hati rakyat dan usaha akan sentiasa diteruskan untuk proses pengukuran perimeter dan lot individu.

Beliau juga memuji masyarakat Bidayuh kerana tidak banyak isu seperti pertindihan tanah ataupun individu yang menuntut tanah lebih dari hak milik mereka berlaku.

“Penyukatan yang kita laksanakan bukanlah kerja semberono kerana kita adakan dialog dan juga merujuk pelbagai rekod. Sekiranya anda berhak keatasnya, anda pasti memilikinya,” tegas beliau.

Beliau menambah tanah yang masih dalam pertikaian ataupun masih dalam perbicaraan di mahkamah untuk menentu pemilik tidak akan di ukur sehinggalah tiada pertikaian antara pemilik.

Sebanyak 573 surat hak milik dibawah Seksyen 18 (Untuk Pertanian) disampaikan kepada pemilik nya pada majlis tersebut.

Turut hadir adalah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: