Terima kasih Abg Joe di atas bajet yang inovatif dan kreatif

Bajet Sarawak 2019 disifatkan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai inovatif dan kreatif dalam menambah hasil negeri.

Timbalan Ketua Menteri berkata pujian harus diberi kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg kerana berjaya merangka amaun besar untuk bajet tahun depan menerusi hasil baru.

Peningkatan hasil dijangka dijana menerusi, antara lain, cukai jualan yang dikenakan ke atas produk-produk petroleum sebanyak 5 peratus.

“Dengan peningkatan amaun bajet, Sarawak berupaya melaksanakan pembangunan yang diperlukan rakyat, juga mengembangkan aktiviti ekonomi,” ujarnya menerusi kenyataan media sebagai mengulas Bajet Sarawak 2019 yang dibentangkan Abang Johari pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Isnin.

Dengan adanya dana yang besar itu, Kerajaan Sarawak mampu melaksanakan beberapa projek-projek seperti membaikpulih sekolah daif yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan.

Menjelaskan lanjut, Awang Tengah berkata pengenaan cukai berkenaan dibuat berpandukan undang-undang negeri.

Bajet Persekutuan 2019, peruntukan dana khusus untuk Sarawak, jelasnya tidak memadai bagi membiayai agenda pembangunan.

Justeru, kerajaan negeri tidak dapat bergantung harapan dengan kerajaan persekutuan.

“Warga Sarawak seharusnya menghargai usaha yang dilakukan YAB Ketua Menteri,” seru beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: