Tak wajar Chong selar Kerajaan Sarawak sebagai tak berikan keutamaan kepada sekolah daif

Dato’ Sri Hj Fadillah Hj Yusof
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS)
Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya
(29 Ogos 2019)

1. Tindakan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang lantang bersuara dalam memperjuangkan hak Sarawak termasuk meminta projek pembinaan dan membaikpulih sekolah daif di Sarawak disegerakan, adalah kerana beliau mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri Sarawak.

2. Malah Kerajaan Negeri Sarawak sanggup mematuhi setiap syarat yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, untuk meneruskan projek itu, walaupun hakikatnya jelas termaktub dalam perlembagaan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

3. Kesungguhan dan keikhlasan Kerajaan Negeri Sarawak juga dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek sekolah daif di Sarawak dapat diselesaikan segera, selepas peruntukan asal untuk Sarawak bagi tujuan itu yang diluluskan kerajaan sebelumnya, ditarik balik oleh kerajaan baharu.

4. Selepas itu Kerajaan Persekutuan meletakkan empat syarat termasuk kontra pembayaran balik RM1 bilion hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan, dengan pembayaran pertama RM350 juta, yang sudahpun dibayar oleh kerajaan negeri.

5. Sehubungan itu adalah tidak wajar sama sekali untuk Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen, menyelar Kerajaan Sarawak sebagai tidak memberikan keutamaan kepada sekolah daif, malah kenyataan Chong itu ibarat “meludah ke langit”.

6. Projek sekolah daif di Sarawak tertangguh selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila bajet asal yang diluluskan untuk Sarawak tidak diteruskan. Dalam soal ini dan apabila projek demi projek yang sudah diluluskan untuk Sarawak tidak diteruskan, apakah Chong dan PH Sarawak pernah bersuara untuk mempertahankan hak Sarawak? Langsung tidak.

7. Chong hanya akan muncul bersuara untuk mempolitikkan apa juga isu demi kepentingan diri dan parti, tindakan yang seolah-olah meletakkan diri mereka masih lagi pembangkang di peringkat Persekutuan

8. Untuk rekod, kerajaan sebelumnya telah meluluskan peruntukan RM2.5 bilion untuk membaiki sekolah daif bagi 2018 dan 2019, masing-masing RM1 bilion untuk Sabah dan Sarawak, RM500 juta untuk Semenanjung. Pada 2018 (sebelum PRU-14) Kerajaan sebelumnya telah menyediakan peruntukan RM419.05 juta untuk membina dan membaikpulih sekolah daif di Sarawak. Ada baki RM581 juta lagi peruntukan untuk Sarawak sepatutnya dibawa ke tahun 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: