Tabung pendidikan, bukti keprihatinan Julaihi terhadap generasi muda Sebuyau

Tabung pendidikan untuk pelajar di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau ditubuhkan pada tahun depan.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi pada Majlis Graduasi SMK Sebuyau 2018 di Dewan Sri Ruai Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau di SEBUYAU, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menjelaskan, tabung pendidikan tersebut bagi membantu pelajar di Sebuyau melanjutkan pelajaran mereka.

“Saya mengumumkan penubuhan Tabung Pendidikan bagi DUN Sebuyau bermula 2019 bagi membantu pelajar di kawasan ini melanjutkan pelajaran.

“Satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menguruskan tabung berkenaan dan sebagai permulaan sebanyak RM100,000 peruntukan diluluskan di bawah projek kecil luar bandar (MRP),” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Julaihi mendedahkan, kesempitan hidup menjadi salah satu halangan kepada pelajar melanjutkan pelajaran mereka di peringkat lebih tinggi.

“Ini satu realiti di kawasan luar bandar di Sarawak dan untuk mengurangkan masalah ini saya bercadang menubuhkan Tabung Pendidikan Sebuyau yang akan bermula pada 2019.

“Justeru, saya mengingatkan pelajar dan ibu bapa bahawa kesempitan hidup masyarakat luar bandar bukan halangan untuk meneruskan kecemerlangan hingga ke menara gading dan berjaya dalam hidup,” tegasnya.

Selain itu, Julaihi mengingatkan pelajar dan guru agar menerima cabaran kekurangan di sekolah sebagai kekuatan untuk menghasilkan keputusan yang cemerlang.

Hal ini katanya, sudah dapat dibuktikan oleh guru dan pelajar sekolah ini melalui keputusan cemerlang yang dicatatkan pada 2017.

“Saya menyeru agar menjadikan SMK Sebuyau antara sekolah terbaik di seluruh negeri dapat direalisasikan bersama,” jelasnya.

Pada masa sama beliau berkata usaha dan komitmen merupakan tunjang kepada kejayaan dan beliau turut menyarankan agar SMK Sebuyau menubuhkan satu pancaragam sekolah untuk mempelbagaikan bakat dan kebolehan pelajar.

Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Simunjan Awang Ahmad Awang Sadit, Pengetua SMK Sebuyau Hasbi Ancheh, Yang Dipertua PIBG SMK Sebuyau Osman Jamel dan tetamu kehormat lain.

Pada majlis itu, Julaihi turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada PIBG SMK Sebuyau untuk menggalakkan penglibatan aktif sekolah itu dalam apa jua program.

[Utusan Borneo Online]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: