TABUNG BAITULMAL SARAWAK AGIH RM32.5 JUTA ZAKAT SEPANJANG TAHUN INI

Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) agih RM32.5juta zakat, kepada asnaf tempatan, sepanjang tahun ini sehingga akhir bulan lepas.

Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata kesemua agihan dilakukan melalui tiga sektor utama, yang diberi fokus pihaknya iaitu pendidikan, kebajikan dan institusi-institusi Islam negeri.

Katanya di bawah sektor pendidikan, sebanyak RM21.37 juta diagihkan, yang memberi manfaat kepada 11,990 penerima; kebajikan sebanyak RM4.62 juta (4,075 penerima); manakala institusi-institusi Islam sebanyak RM6.72 juta (1,069 penerima).

“Paling banyak di bidang pendidikan, kerana ia satu elemen penting, untuk tingkatkan peluang penerima-penerima ini, dalam bidang ekonomi pada masa akan datang.

“Banyak penerima ini selalunya mempunyai masalah pembiayaan tiket apabila dapat melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, jadi untuk mereka yang dapat tawaran, kita bagi mereka ini RM2,500,” katanya kepada Bernama selepas menerima penyerahan zakat perniagaan Rural Capital Berhad, sebuah syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat sebanyak RM68,950, di KUCHING, pada 28 November 2019.

[BERNAMA]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: