Tabik Chong tangani isu bekalan minyak di Kapit, tapi kenapa masih salahkan BN

TABIK kepada Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen kerana melalui dasar baharu, kini pihaknya pada peringkat akhir menyelesaikan isu bekalan minyak di Kapit dan sekitarnya.

Ahli Parlimen Stampin itu berkata, sebelum sambutan Hari Gawai tahun ini, rakyat Kapit dapat menyaksikan beroperasinya dua stesen pam minyak kontena mudah alih (portable container system-PCS) atau stesen petrol mini di Kapit dan kawasan sekitarnya.

Melalui kenyataan beliau seperti dilaporkan portal tempatan hari ini, Chong berkata, “jaminan saya kepada rakyat Sarawak, pada tahap kementerian saya, kami kini sedang meneliti beberapa dasar untuk diperbaiki dalam sistem penyampaian, terutama penghantaran serta susbidi barangan selain subsidi kepada rakyat di luar bandar.”

Betapapun, dalam menyelesaikan isu kekurangan petrol atau diesel yang dihadapi pengguna termasuk di Kapit ini, Chong masih tidak dapat mengelak menggunakan “madah berhelah”nya.

Beliau masih meletakkan bahawa punca masalah ini sebagai hasil tinggalan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), menurutnya.

Buat masa ini terdapat hanya dua stesen minyak di Kapit iaitu stesen milik Petronas, sementara satu lagi stesen minyak tidak berjenama.

Chong dalam kenyataannya berkata, sebelum ini, ramai yang memohon membuka beberapa stesen petrol, namun menurutnya permohonan tersebut ditolak atau dilengahkan oleh kerajaan BN.

“Akibat daripada itu penduduk di Kapit menghadapi masalah kekurangan petrol dan diesel selain menanggung harga yang lebih tinggi,” ujar Chong dipetik mengulas isu tular di media sosial berkaitan pengguna di Kapit mengalami masalah membeli petrol dan diesel yang kerap kehabisan stok.

Hal ini dikatakan turut menjadi punca kesesakan lalu lintas kerana kenderaan terpaksa beratur panjang mengunakan satu pam sahaja.

Chong yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak menjelaskan bagi penyelesaian jangka pendek, kementerian menghubungi syarikat minyak agar segera meningkatkan bekalan petrol dan diesel mereka.

Menurut kenyataan tersebut, kementerian Chong berhubung dengan beberapa syarikat minyak memudahkan pembukaan beberapa stesen lain bagi memenuhi keperluan pengguna.

Tindakan lain termasuk memindahkan operator tempatan, rundingan subsidi pengangkutan bagi petrol dan diesel serta “menangani” undang-undang ditetapkan kerajaan negeri berkaitan penubuhan stesen petrol mini.

Sekali lagi tabik kepada Chong kerana prihatin mengatasi masalah rakyat ini, akan tetapi sudah masuk 10 bulan PH memerintah Kerajaan Persekutuan kenapa masih mencari “kambing hitam” BN untuk dijadikan penyebab semua isu yang timbul.

Link ke sumber: Sarawak Voice

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: