S&P sahkan penarafan ‘A-’ ke atas Sarawak

S&P Global Ratings mengesahkan penarafan kredit penerbit jangka panjang ‘A-’ ke atas negeri Sarawak, Malaysia, dengan prospek stabil.

“Prospek stabil itu menunjukkan jangkaan kami bahawa Sarawak akan mengekalkan prestasi belanjawannya yang luar biasa, fleksibiliti belanjawan yang tinggi dan kedudukan mudah tunai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

S&P berkata profil kredit Sarawak disokong oleh lebihan tunai yang besar dan rizab yang banyak didorong oleh jualan minyak.

Menurut S&P, purata per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak pada sekitar AS$11,350 (AS$1=RM4.17) antara 2015 dan 2017, 19 peratus lebih tinggi daripada Malaysia.

Per kapita KDNK negeri itu tinggi untuk rantau ini, tetapi masih rendah berdasarkan standard antarabangsa, terutamanya dengan ringgit yang lemah dalam beberapa tahun ini.

“Kami melihat prospek pertumbuhan ekonomi negeri itu sebagai baik dan unjuran KDNK sebenar naik pada purata 4.8 peratus setahun dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Ini akan didorong oleh jumlah perdagangan komoditi global yang stabil, peningkatan aktiviti dalam segmen hiliran komoditi dengan nilai tambah yang lebih tinggi, pertumbuhan sektor pelancongan yang mampan dan perbelanjaan fiskal yang berkembang disebabkan dorongan infrastruktur,” katanya.

S&P berkata cadangan pengenalan cukai jualan ke atas eksport petroleum dijangka meningkatkan pendapatan operasi sebanyak 51.6 peratus pada 2019 berbanding 2018.

Pendapatan tambahan melalui cukai jualan itu akan mengurangkan kebergantungan negeri kepada pendapatan dividen daripada pelaburan dan pampasan gas asli cecair (LNG) daripada kerajaan Persekutuan sebagai ganti hak minyak dan gas, menurut S&P.

“Kami menjangka perbincangan negeri dengan kerajaan persekutuan untuk menaikkan royalti minyak dan gas kepada 20 peratus daripada 5.0 peratus akan berlarutan dan dijangka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh unjuran kami,” katanya.

Katanya penyusutan nilai ringgit seterusnya, jika berlaku, akan meningkatkan pendapatan operasi Sarawak berikutan minyak dan LNG kebanyakannya dijual dalam dolar AS.

Bagaimanapun, dengan tambahan pendapatan melalui cukai jualan ke atas eksport petroleum pada 2019, “kami percaya negeri itu akan mencatatkan lebihan keseluruhan pada purata 5.9 peratus daripada jumlah pendapatan setahun dalam tempoh 2016-2020.”

Berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, Sarawak menunjukkan keupayaan untuk meningkatkan pendapatan operasinya.

Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada negeri Sarawak dan Sabah untuk mengenakan cukai jualan negeri.

Sarawak kini mengenakan cukai jualan sebanyak 5.0 peratus ke atas barangan seperti minyak sawit mentah, minyak isirung sawit mentah dan tiket loteri.

Hasil daripada cukai jualan itu menyumbang 10 peratus daripada jumlah pendapatan pada 2017, menurut S&P,  sambil menambah perluasan cukai jualan kepada eksport petroleum “akan meningkatkan perolehan hampir 700 peratus.”

Rizab mudah tunai dan tunai negeri itu mencukupi untuk menampung 38 kali pembayaran hutangnya dalam tempoh 12 bulan akan datang, katanya.

Pada 2019, Sarawak menghadapi bon sukuk RM100 juta dan bayaran prinsipal bon AS$35 juta, ditambah dengan kos faedah sebanyak AS$105.4 juta.

“Pada pandangan kami, penjanaan aliran tunai dalaman Sarawak turut kukuh, dengan lebihan operasi yang kami unjur kira-kira RM7 bilion pada 2020, mencukupi untuk menampung kira-kira 800 peratus jangkaan pembayaran hutang.”

S&P berkata dasar negeri mengenai pengurusan rizab adalah konservatif.

Kebanyakan pegangan tunainya dalam dana pasaran wang dan deposit tetap, katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: