Senyum dan syukur, pendaftaran GPS diluluskan

[Nota: Gambar di atas bukan logo GPS yang sebenar. Ia hanya ilustrasi]

Berita yang amat dinantikan pemimpin, ahli dan penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) akhirnya muncul jua hari ini.

Pengumuman penubuhan parti itu dilakukan oleh Ketua Menteri Sarawak pada 12 Jun 2018 dan disusuli permohonan rasmi dikemukakan kepada Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

GPS dianggotai PBB, PRS, PDP dan SUPP. Mereka keluar BN selepas kekalahannya pada Pilihan Raya Umum Keempat Belas, Mei 2018.

Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan berita tersebut ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur.

“Permohonan untuk mendaftarkan penubuhan GPS sudahpun diluluskan, surat itu akan dikeluarkan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan dalam sehari dua ini, Insya-Allah,” katanya.

Dalam sidang media di lobi Parlimen, Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi melahirkan ucapan penghargaan kepada RoS dan Kementerian Dalam Negeri atas kelulusan itu.

“Kita telah mohon awal Julai dan telah diberitahu prosedurnya akan mengambil masa tiga hingga enam bulan,” katanya.

Naib Presiden Kanan PBB yang juga Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata:

“Ini sekaligus merupakan satu pengiktirafan kepada perjuangan rakyat Sarawak bagi mempertahankan hak Sarawak dalam Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media.

Penubuhan GPS bertujuan membolehkan Sarawak bergerak di atas landasan politik baharu, melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran sejajar dengan perubahan aspirasi, keperluan dan kehendak rakyat Sarawak yang memiliki berbagai kaum, budaya serta agama, katanya.

“GPS akan melindungi kepentingan rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum secara inklusif. Parti gabungan baharu ini akan membolehkan Sarawak memberi lebih tumpuan tentang kepentingan dan hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” ujarnya.

Mengenai perkembangan sama, Naib Presiden PBB Datuk Julaihi Narawi berkata ini memudahkan komponen di dalam GPS merancang dan melaksanakan agenda2 pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah satu parti.

“Kita berterima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana meluluskan pendaftaran GPS,” katanya.

GPS akan berdiri teguh melindungi dan mempertahankan hak-hak rakyat Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, sambil bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berlandaskan perlembagaan.

Kesemua pemimpin-pemimpin GPS dan rakyat Sarawak sendiri percaya bahawa hanya parti politik tempatan sahaja memahami keperluan/kehendak rakyat Sarawak, tekan beliau.

“Tiba masanya kesemua kita rakyat Sarawak bergabung untuk masa depan Sarawak.

“Kita tidak boleh lagi membenarkan Sarawak Ibu Pertiwiku diperkotak-katikkan oleh pihak luar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: