Selamat Menyambut Hari Sarawak!

PADA 23 April 2016 di satu majlis di Kuching, Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu Tan Sri Adenan Satem, mengisytiharkan 22 Julai setiap tahun sebagai Hari Sarawak.

Allahyarham Tok Nan berkata pengisytiharan itu dibuat sebagai menghargai jasa pejuang Sarawak.

Pengisytiharan itu juga dilihat sebagai usaha menyegarkan kembali ingatan anak Sarawak mengenai betapa pentingnya tarikh tersebut.

Menurut sejarah yang tercatat pada tarikh 22 Julai 1963, Sarawak dibebaskan daripada belenggu penjajahan apabila Gabenor British, Sir Alex Wadell yang memerintah negeri berkenaan telah bersetuju untuk menyerahkan kuasa pentadbiran negeri kepada anak Sarawak sendiri.

Pada 22 Julai 2016, Sambutan Hari Sarawak diadakan di Tebing Sungai Kuching. Tun Taib, Adenan dan anggota kabinet kerajaan negeri Sarawak pada majlis itu mengenakan pakaian berwarna putih.

Ia yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud memaparkan lakonan semula sejarah negeri itu, bermula daripada pemerintahan Kesultanan Brunei dari tahun 1599 hingga 1842, pentadbiran Brooke (1842 hingga perang dunia kedua), British (1846 hingga 1963) dan Jepun (1941 hingga 1945) kepada pengunjung.

Pada 22 Julai 1963, Sarawak menjadi negeri yang mempunyai kerajaan sendiri apabila kabinet Sarawak pertama dilantik untuk mentadbir urus negeri ini di mana satu proklamasi dikeluarkan bagi membentuk Supreme Council yang baharu.

Kabinet yang pertama itu dipimpin Datuk Stephen Kalong Ningkan dan beliau dibantu lima orang ahli Yang Berhormat lain sebagai menteri.

Pada 15 September tahun yang sama, tepat jam 12.30 tengah hari Gabenor British terakhir Sir Alexander Waddell meninggalkan Astana menaiki kapal yang membawa beliau dan sejarah penjajahan pulang ke tempat asal mereka selama-lamanya dan menjadikan Sarawak sebuah negeri merdeka.

Sarawak pada 16 September 1963 bersama-sama Tanah Melayu, Sabah dan Singapura (kemudian keluar) bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia.

Amat penting bagi generasi baru mengetahui sejarah Sarawak dan pembentukan Persekutuan Malaysia. Begitu juga perjuangan mempertahankan hak dan kepentingan Sarawak dalam Persekutuan berlandaskan Perlembagaan Malaysia.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg menerusi Suara Sarawak berkata setiap rakyat Sarawak harus menghayati tarikh 22 Julai kerana ia begitu penting malah menganggap sebagai hari keramat yang menandakan sejarah penubuhan Kerajaan Sarawak yang dipimpin mendiang Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri.

Bahkan katanya ahli-ahli kabinet juga terdiri daripada anak-anak Sarawak termasuklah Yang di-Pertua Negeri hari ini Tun Abdul Taib Mahmud.

“Sebelum tertubuhnya atau pengisytiharan Malaysia pada 1963, kita mempunyai kerajaan sendiri iaitu pada 22 Julai 1963.

“Bermakna sebelum Malaysia lagi kita sudah ada kerajaan sendiri walaupun ketua negeri masih lagi seorang ahli kolonial iaitu Alexander Waddell tetapi kuasa eksekutif telah diberi kepada anak Sarawak, itu pentingnya 22 Julai.

“Selepas itu kita menjadi anggota sebahagian daripada Malaysia pada 16 September 1963,” katanya.

Abang Johari berkata pengisytiharan 22 Julai sebagai cuti umum Hari Sarawak pada empat tahun lepas oleh Tok Nan juga telah memberi kesan yang baik kepada negeri ini.

Katanya antara yang telah diperjuangkan adalah mengenai pentingnya hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berpaksi kepada Suruhanjaya Cobbold dan juga peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, sejak itu Sarawak secara struktur mengembalikan hak-hak yang telah terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sengaja.

Malah, katanya yang penting adalah ia menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat Sarawak bahawa harus membangunkan negeri seterusnya mengambil kira hak-hak yang dipersetui dalam MA63.

“Jadi empat tahun lepas, kita telah mengusahakan untuk mengembalikan hak-hak yang telah terhakis sama ada sengaja atau tidak sengaja.

“Sebagai pengganti Tok Nan, saya teruskan usaha ini secara berhemah, tidak menjejaskan kedaulatan sebuah negara persekutuan tetapi mengembalikan hak yang sepatutnya dipunyai oleh rakyat Sarawak.

“Jadi bagi saya empat tahun yang lepas telah memberikan aspirasi baharu untuk Sarawak menjadi sebuah wilayah daripada tiga wilayah Malaysia iaitu Sabah, Sarawak dan persekutuan tanah melayu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: