Sektor pertanian kian berkembang di Sarawak

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata tahun ini kerajaan negeri menjangka peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak bagi sektor pertanian akan meningkat.

Menurutnya, sumbangan sektor itu dijangka akan meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 15 peratus.

Sektor pertanian menyumbang sebanyak RM16.5 bilion atau 12.4 peratus kepada KDNK Sarawak pada 2018.

Agensi berita Bernama pada 22 November 2019 melaporkan bahawa ia menunjukkan sektor tersebut kian berkembang dan meningkat.

“(Perkembangan ini) selari dengan sasaran Sarawak untuk menjadi pengeksport utama menjelang 2030.

“Kita (kerajaan negeri) mahu Sarawak menjadi pengeluar bahan makanan kepada dunia khususnya negara jiran,” katanya dipetik menerusi laporan itu ketika berucap pada majlis perasmian Sarawak Agrofest 2019 di Kuching.

Setakat ini, nilai eksport bahan makanan Sarawak berjumlah RM900 juta dan angka tersebut masih kurang berbanding nilai import bahan makan yang berjumlah RM4.7 bilion.

Justeru itu, Abang Johari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM797 juta dalam Belanjawan 2020 untuk membangunkan sektor pertanian.

“Peruntukan ini untuk mengerakkan dasar-dasar pertanian, ada dasar baru ditubuhkan, pertamanya Agro Park yang akan dibekalkan dengan infrastuktur internet (Internet of Thing) yang berkeluasan antara 20 (8.1 hektar) hingga 30 ekar (12 hektar).

“Pada pendapat saya untuk industri makanan sudah mencukupi, saya yakin ini dapat kita laksanakan. Yang keduanya, kita (kerajaan negeri) memberikan modal teroka melalui dana fasilitasi untuk dijadikan modal membangunkan usaha-usaha tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: