Satu lagi kes kematian rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 9 Disember 2018 berhubung dua kes disyaki rabies di Sarawak.

Pada 10 Disember 2018, ujian makmal ke atas sampel daripada kedua-dua kes tersebut telah disahkan positif rabies.

Kes rabies ke-15, seorang lelaki berumur 64 tahun telah meninggal dunia pada 11 Disember 2018 jam 6.43 pagi dan kes ke-16, seorang lelaki berumur 74 tahun telah meninggal dunia pada 7 Disember 2018 jam 3.15 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mendiang.

Dengan pengesahan dua (2) kes baru ini, jumlah kes rabies di kalangan manusia di Sarawak sejak wabak ini diumumkan pada 30 Jun 2017 adalah 16 kes; termasuk 15 kematian.

Kes yang hidup adalah seorang kanak-kanak berumur tujuh (7) tahun yang mengalami komplikasi neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.

Sejak 30 Jun 2017 hingga 11 Disember 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 56 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies.

Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.

Kadar kematian akibat jangkitan rabies adalah amat tinggi.

Dalam wabak rabies di Sarawak, kadar kematiannya adalah 93.8% dan peluang untuk sembuh sihat adalah amat tipis sekiranya tidak mencuci luka gigitan dengan baik dan tidak mendapatkan rawatan dengan segera.

Justeru, KKM mengingatkan orang awam agar segera mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur.

Selepas itu, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat.

Gigitan oleh haiwan yang dijangkiti rabies adalah punca jangkitan pada manusia, terutamanya apabila digigit oleh anjing rabid.

Maka perlu dipastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan vaksin anti-rabies di klinik haiwan yang terdekat.

Sentiasa pastikan haiwan peliharaan berada dalam kawasan rumah dan tidak bercampur dengan anjing atau haiwan liar.

Jangan pungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti dan virus rabies sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala.

Tempoh wabak rabies yang berlaku di Sarawak telah menjangkau 17 bulan.

Wabak ini sukar dibendung sekiranya kawalan anjing tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Justeru, kerjasama orang ramai terhadap semua saranan Kerajaan amatamat diperlukan bagi bersama-sama mengawal populasi anjing di negeri ini, dan memastikan haiwan peliharaan khususnya anjing telah mendapat suntikan vaksin antirabies setiap tahun.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 11 DISEMBER 2018

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: