Sarawak siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah bersedia bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut dengan kekuatan pegawai dan kakitangan, kemudahan logistik dan pusat pemindahan.

Musim Monsun Timur Laut yang telah bermula pada 27 Oktober sehingga Mac 2019 dijangka akan mengakibatkan beberapa siri hujan monsun yang menyeluruh. Semasa Monsun Timur Laut ini, banjir di kawasan berkedudukan rendah boleh berlaku, dan akan menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang tinggi.

Datuk Amar Douglas Uggah, Timbalan Ketua Menteri Sarawak semasa sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 14 November 2018 menjelaskan antara persediaan menghadapinya ialah:-

– Seramai 15,152 orang pegawai dan anggota daripada agensi penguatkuasa dan keselamatan bersedia untuk berkhidmat pada masa yang diperlukan;
– Sebanyak lima (5) buah helikopter, lima (5) buah drone, 172 buah lori, 549 buah kenderaan pacuan empat (4) roda, 283 buah bot, dan 109 buah ambulans bersedia untuk digunakan semasa musim
banjir kali ini; dan
– Sebanyak 610 pusat pemindahan yang boleh memuatkan 203,960 orang bersedia untuk dibuka di seluruh Sarawak.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menyediakan 16 buah pangkalan hadapan di Bahagian Kuching, Kapit, Bintulu dan Miri. Bagi Stor dan Depot pula, terdapat tiga (3) kawasan yang disediakan iaitu di Ibu Pejabat JKM di Kuching, Samarahan dan Miri.

Sehubungan itu, semua pejabat Residen telah bersiapsiaga dan Bilik Gerakan Banjir di semua bahagian akan diaktifkan pada bila-bila masa sahaja apabila diperlukan.

“Tahap kesiapsiagaan perlu dipandang serius oleh semua pihak termasuk agensi yang menggunakan dan menggerakkan aset seperti Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, RELA dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. Pengendalian aset logistik semasa bencana amat kritikal yang mana ia memerlukan penyelarasan yang cekap agar semua asset dapat dimanfaatkan semaksimum yang mungkin,” ujarnya.

Bagi persediaan menghadapi musim tengkujuh kali ini, Kerajaan Persekutuan melalui Peruntukan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) telah disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Bahagian (JPBB) berjumlah RM400,000.

[SUMBER: Teks ucapan YB TKM Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 14 November 2018]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: