Sarawak Service Centre Bukti Kerajaan Negeri Komited Berikan Perkhidmatan Bertaraf Dunia Kepada Rakyat

Sarawak Service Centre yang mendapat respon positif orang ramai menjadi kayu ukur kepada kualiti perkhidmatan awam kerajaan negeri kepada rakyat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi Dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr Sabariah Putit berkata, sebagai pegawai barisan hadapan, kakitangan awam di negeri ini akan terus diperkasakan menerusi pelbagai latihan agar mereka menjadi kakitangan awam bertaraf dunia.

Jelas beliau, ianya merupakan satu platform baharu penyampaian perkhidmatan barisan hadapan yang mesra pelanggan selari dengan hasrat kerajaan negeri Sarawak ke arah perkhidmatan awam negeri yang bertaraf dunia dari segi penyampaian perkhidmatan cemerlang.

“Saya rasa kita merupakan wilayah yang telah dapat mencapai kejayaan dalam melaksanakan apa yang dikatakan one stop center berkonsepkan no wrong door and no wrong counter policy untuk perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan negeri Sarawak.

“Ini merupakan usaha pihak kerajaan melalui Transformasi SCS 10-20 Action Plan untuk menjadikan perkhidmatan Kerajaan Sarawak bertaraf dunia,” katanya selepas melakukan lawatan ke Sarawak Service Centre dan sesi perjumpaan dengan kakitangan baru bagi Sarawak Service Centre Sibu dan Miri di Kuching baru-baru ini.

Sabariah menambah, ia juga merupakan usaha ke arah perkhidmatan yang memberi fokus kepada keperluan dan keselesaan rakyat.

Tambah beliau, oleh itu, Sarawak Service Centre telah menawarkan perkhidmatan di pelbagai saluran iaitu kaunter, kiosk dan juga secara atas talian.

“Apa yang kita harapkan pertemuan dengan seramai 70 kakitangan yang bekerja di Service Sarawak akan memberi inspirasi kepada mereka untuk bekhidmat dengan cemerlang.

“Mereka sedang menjalani pelbagai latihan dan juga akan diberi mandat menjadi duta kerajaan negeri bertaraf dunia dalam memberi perkhidmatan di Sarawak Service Centre Kuching, Sibu dan Miri.

Sejak Service Sarawak Kuching beroperasi bermula 1 Oktober 2018, purata pengguna sehari yang menggunakan perkhidmatan pertanyaan dan pembayaran pelbagai bil seperti bil berkaitan perkhidmatan kerajaan negeri, bil elektrik, bil air dan cukai taksiran adalah seramai 800 orang sehari.

Berdasarkan rekod, sejak Oktober tahun lalu hingga 31 Ogos tahun ini, seramai 208,688 orang awam menggunakan perkhidmatan tersebut dengan transaksi berjumlah 337,320 dalam tempoh itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: