SARAWAK PERTIMBANG BUKA PEJABAT PERDAGANGAN DI THAILAND

Kerajaan Sarawak sedang mempertimbangkan untuk membuka pejabat perdagangan di Thailand selepas Indonesia dan Brunei.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata bagaimanapun langkah itu bergantung kepada peningkatan jumlah perdagangan antara Sarawak dan Thailand pada masa depan.

“Sekiranya jumlah perniagaan (perdagangan Sarawak-Thailand) besar dan diharapkan sekiranya negara itu membuka pejabat (perdagangan) mereka di sini, kita juga perlu berbuat demikian, namun tidak pada masa ini,” katanya kepada pemberita pada Forum Perdagangan Merapatkan Hubungan Perdagangan dan Pelaburan Antara Thailand dan Malaysia Timur (Sarawak) 2019 serta Padanan Perniagaan di Kuching pada 23 Ogos 2019.

Abang Johari berkata Sarawak telah membuka pejabat perdagangan di Singapura baru-baru ini memandangkan jumlah perdagangan mereka tinggi selain merancang untuk mewujudkan pejabat yang sama di Pontianak (Indonesia) dan Brunei dalam tempoh dua tahun.

“Sebenarnya, ini (pembukaan pejabat perdagangan) sedang dalam rundingan,” katanya.

Duta Thailand di Malaysia, Naron Sasitorn turut hadir dalam forum tersebut.

Dalam forum berkenaan, Pengarah Eksekutif Pejabat Pembangunan Pasaran Luar Negara 1, Jabatan Penggalakan Perdagangan Antarabangsa Thailand, Prakhan Kordumrong membentangkan mengenai ‘Ekonomi Thailand: Situasi Semasa dan Prospek Masa Depan di bawah Prayut II’ kepada para peserta.

Ia disusuli perbincangan panel mengenai ‘Peluang Perdagangan Berpotensi antara Thailand dan Sarawak’ yang dikendalikan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Michael Tiang.

Ahli panelnya ialah Timbalan Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak, Datuk Dr. Philip D.I Ting; Pengarah Eksekutif Persekutuan Industri Thailand, Panitarn Pawarolanwittaya serta anggota Jawatankuasa Lembaga Perdagangan Thailand, Kraisin Vongsurakrai.

Sumber – www.bernama.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: