Sarawak mara bersama GPS

Kelulusan pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini membuka lembaran baharu politik Sarawak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata selepas hampir lima bulan menunggu, akhirnya pendaftaran GPS telah diluluskan pada hari ini dan sekali gus membuka lembaran baharu kepada landskap politik Sarawak.

“Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu telah membuka lembaran baharu kepada politik Sarawak selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).

“Lulusnya pendaftaran GPS yang terdiri dari PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) membolehkan landskap politik Sarawak mula berubah dengan berteraskan anak tempatan Sarawak.

“Keputusan ini juga membolehkan GPS berusaha mengembalikan hak rakyat dan negeri Sarawak yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja dalam konteks Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menegaskan GPS ditubuhkan bagi mempertahan dan mendapatkan kembali hak-hak Sarawak yang terhakis selama ini.

“Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebelum ini memberitahu bahawa kewujudan GPS bertujuan mendapatkan hak Sarawak yang terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sejak 55 tahun dahulu.

“Untuk itu, kita akan memastikan Sarawak memperoleh hak dalam membangunkan negeri ini berlandaskan kepada kepentingan dan keperluan rakyat.

“Kita juga mahukan hak-hak Sarawak dikembalikan bagi membolehkan negeri Sarawak membangun bersama seperti negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Langkah ini penting bagi membolehkan segala hak dan kepentingan Sarawak seperti minyak dan gas serta kuasa autonomi dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dikembalikan dan terus dipelihara,” tambahnya lagi.

Buat pertama kali dalam sejarah Sarawak sejak penubuhan Malaysia 55 tahun lepas, kuasa politiknya dalam kedudukan yang kuat tanpa sebarang campur tangan mana-mana gabungan daripada Semenanjung Malaysia.

Landskap politik baharu Sarawak kali ini membolehkan Sarawak melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14).

GPS seperti mana tujuan asal penubuhannya mengambil kira kepentingan rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum secara inklusif.

Ini kerana hanya rakyat Sarawak dan parti Sarawak sahaja yang tahu akan keperluan negeri Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: