Sarawak juga laksanakan larangan merokok di tempat makan, usah salah faham

KENYATAAN AKHBAR MENTERI KESIHATAN
DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD MENTERI KESIHATAN MALAYSIA TENTANG DAKWAAN SARAWAK TIDAK BERSAMA ‘SMOKING BAN.

Merujuk kepada laporan akhbar Borneo Post bertarikh 23 Disember 2018 berkaitan “Smoking ban doesn’t apply to Sarawak”, saya telah menghubungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sarawak, Prof Datuk Dr Sim Kui Hian untuk mendapatkan kefahaman berkaitan isu ini.

Saya merasa sangat berbesar hati kerana Prof Datuk Dr Sim dan Kerajaan Sarawak menyokong penuh usaha KKM dalam melaksanakan pindaan Peraturan Larangan Merokok yang melibatkan tempat makan samada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin termasuk tempat makan terbuka.

Kerajaan Negeri Sarawak melalui pihak berkuasa tempatan akan menyelaraskan undang-undang yang akan dikuatkuasakan dibawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), Akta Makanan 1983.

Penyelarasan ini dibuat adalah bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan agar pertindanan undang-undang yang melibatkan peraturan negeri dapat diatasi.

Kenyataan yang dikeluarkan pada tarikh tersebut di atas mungkin telah disalah tafsirkan oleh segelintir masyarakat berkaitan larangan merokok di tempat makan di negeri Sarawak.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menunjukkan sokongan tanpa henti berkaitan larangan merokok yang akan dikuatkuasakan ini.

Saya menyeru sokongan berterusan dari segenap lapisan masyarakat agar hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat dilindungi daripada bahaya asap rokok dapat dicapai.

Sementara itu, agensi berita Bernama melaporkan Sarawak akan menguatkuasakan larangan merokok berdasarkan Ordinan Kecil Kerajaan Tempatan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata:

“Sarawak akan mempunyai larangan merokok kita sendiri dengan mengambil kira keadaan dan berdasarkan Ordinan Kecil Kerajaan Tempatan Sarawak dan undang-undang. Sama seperti imigresen, kita ada hak imigresen kita sendiri.

“Sebagai ahli kardiologi, saya menyokong amalan antimerokok sepanjang kerjaya saya dan akan terus berbuat demikian.”

Beliau juga melahirkan perasaan kecewa dengan gambaran salah sesetengah pihak terhadap Sarawak berhubung isu larangan merokok.

“Merokok adalah tidak baik untuk kesihatan bukan sahaja untuk perokok tetapi juga untuk bukan perokok. Kita terpaksa melakukan lebih banyak ke atas produk tembakau bukan setakat undang-undang sahaja tetapi juga secara holistik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: