‘Sarawak First’ bergema di luar mahkamah ketika kes saman Petronas

LAUNGAN ‘Sarawak First’ bergema di perkarangan bangunan Mahkamah Kuching pada pagi Selasa (14 Januari 2020).

Ia dilaungkan oleh pemimpin-pemimpin GPS yang berada di mahkamah bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap kerajaan negeri Sarawak dalam kes saman terhadap Petronas.

Petronas gagal membayar cukai jualan produk petroleum yang dikuatkuasakan kerajaan negeri pada Januari 2019.

Akhbar melaporkan cukai yang tidak dijelaskan Petronas ialah kira-kira RM1.3 bilion, tatkala syarikat-syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Sarawak membayar cukai.

Pemimpin GPS kanan yang berada di mahkamah ialah Datuk Amar Douglas Uggah (Timbalan Presiden PBB), Presiden PDP Dato Sri Tiong King Sing, Naib Presiden PRS Datuk Liwan Lagang, Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting, Ketua Wanita PBB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah.

Mereka tiba di mahkamah seawal 7.30 pagi dengan para penyokong yang mencecah ratusan orang. Semua parti komponen GPS berada di situ.

Menteri Muda Undang-undang Sarawak Datuk Sharifah Hasidah menerusi laporan media berkata dia menaruh keyakinan bahawa kerajaan negeri akan menang dalam kes tersebut.

Menurutnya, dari segi undang-undang, Sarawak mempunyai kelebihan dan kekuatan untuk memenangi kes tersebut, walaupun ketika ini pihak Petronas akan membantah saman berkenaan serta mengemukakan pelbagai permohonan.

Abdullah Saidol, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Sarawak mengenai kes yang sama berkata, kes tersebut bukan hanya membabitkan Kerajaan Negeri, tetapi secara tidak langsung membabitkan rakyat negeri ini.

“Kes ini bukan hanya perbicaraan yang melibatkan Kerajaan Negeri dan Petronas semata-mata tetapi secara prinsipnya ialah adalah satu situasi yang melibatkan rakyat Sarawak yang ingin mempertahankan hak dan kepentingan negeri mengikut undang-undang yang kini sedang dicabar kedudukannya oleh Petronas,” katanya.

Kes berkenaan akan dibawa semula ke Mahkamah Tinggi pada 23 Januari 2020.

Di kamar Mahkamah Tinggi lain, Petronas memohon semakan undang-undang bagi mengenepikan tuntutan cukai oleh kerajaan negeri.

Pendengaran kes tersebut akan diadakan pada 3 hingga 5 Februari 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: