Sarawak eksport ikan tilapia merah ke Singapura

Sektor pertanian negeri Sarawak melangkah setapak lagi ke hadapan dengan pengeksportan ikan tilapia merah ke Singapura, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut Uggah, kejayaan itu hasil penubuhan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATOS) di Singapura yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 16 Ogos lalu.

“Beliau (Abang Johari) mempunyai visi yang jelas untuk mengubah landskap pertanian di negeri ini dengan penubuhan STATOS yang membuka jalan kepada pembeli di sana untuk terus berurusan dengan Sarawak.

“Kami berharap lebih banyak produk pertanian yang boleh dieksport ke Singapura dan negara lain. Ini adalah petunjuk yang positif terhadap perubahan sektor pertanian Sarawak, untuk terus menuju objektif iaitu menjadi pengeksport utama pada tahun 2030 dan juga menerima pakai teknologi moden,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Menteri Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Eksport Ikan Tilapia oleh Borneo Eco Fish ke Singapura di Kuching, pada 3 Oktober 2019.

Uggah berkata, Sarawak mempunyai masa depan yang cerah dalam sektor pertanian dan menggalakkan golongan muda untuk menceburi bidang itu.

“Kementerian akan mencari mekanisme bagi menyokong (usaha itu) termasuk menyediakan modal awal, nasihat penggunaan teknologi dan kemudian akan menyediakan pusat kecemerlangan iaitu dengan menjadikan ladang ini sebagai model untuk seluruh Sarawak,” katanya.

Hari ini, sejumlah 12 tan ikan tilapia merah akan dieksport ke Singapura buat pertama kalinya.

Borneo Eco Fish merupakan syarikat penternak dan pemproses ikan tilapia dalam sangkar yang terbesar di Empangan Lubuk Antu, mempunyai Sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Sijil Amalan Pertanian Baik dan setakat ini memiliki 3,000 sangkar ikan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: