Sarawak bakal bentang belanjawan terbesar dalam sejarah negeri

Pembentangan Belanjawan Sarawak 2019, Isnin ini, bakal menyaksikan jumlah peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah Bumi Kenyalang.

Malah, RM11 bilion diperuntukkan bagi memperkasakan pembangunan luar bandar negeri ini merangkumi pembinaan jalan raya, selain penyediaan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata peruntukan besar itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Sejumlah RM6 Bilion diperuntukkan bagi pembinaan jalan air, khusus bagi membiayai projek jalan pesisir yang mampu mewujudkan akses perhubungan lebih baik di kawasan terbabit, sekali gus meningkatkan pembangunan setempat.

“Belanjawan Sarawak 2019 turut memberi penumpuan kepada bekalan elektrik (RM2.3 bilion) dan air bersih (RM2.8 bilion)… ini tiga teras utama belanjawan kita kali ini, yang terbesar dalam sejarah Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Simposium Budaya Melanau Ke-7, di Mukah pada Khamis.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Presiden Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak, Tan Sri Muhammad Leo Toyad.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak, berkata peruntukan besar itu juga bagi menangani jurang pembangunan sedia ada antara kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini.

Mengakui ia bukan tugas mudah dan memerlukan perbelanjaan besar, katanya, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat serta taraf hidup lebih baik.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada peruntukan Pusat yang agak terhad dan memakan masa (untuk disalurkan). Maka, kita perlu mempunyai kaedah sendiri bagi memastikan usaha dirancangkan dapat dilaksanakan dan berjalan lancar,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: