Sarawak akan wujudkan Makmal Petani Pintar

Sebuah makmal ‘petani pintar’ akan diwujudkan di negeri ini yang bertujuan memberi pengetahuan teknologi pertanian moden dan program latihan kepada anggota Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas).

Ketua Menteri Sarawak yang juga Presiden Saberkas, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata makmal tersebut dicadang didirikan di Pusat Latihan Agroteknologi Saberkas di Paya Paloh, dekat sini.

“Ia akan dibangunkan bersama Fakulti Pertanian Universiti Malaysia Sarawak dan kumpulan pakar dari Singapura,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kali ke-52 Saberkas, di Kuching, pada 27 November 2019.

Abang Johari berkata sektor pertanian adalah antara beberapa sektor yang dikenal pasti oleh organisasi itu sebagai penting dan dapat menjamin sumber pendapatan anggotanya pada masa akan datang.

Sektor itu juga merupakan antara elemen utama yang akan difokuskan oleh kerajaan negeri dalam Rancangan Malaysia ke-12, katanya.

“Kita ada dalam lebih 40,000 anggota…mereka ini masih di peringkat muda, jadi mereka jadi kumpulan sasar kita untuk kita latih, terutama untuk pertingkat ekonomi,” katanya.

[BERNAMA]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: