RM42,300 kompaun terhadap kesalahan merokok setakat 6 Jan 2020

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan penguatkuasaan penuh larangan merokok ditempat makan bermula pada 1 Januari 2020.

Sepanjang aktiviti penguatkuasaan selama enam (6) hari iaitu bagi tempoh 1hb Januari 2020 hingga 6hb Januari 2020, sebanyak 3,867 premis tempat makan telah diperiksa.

Secara keseluruhan sebanyak 174 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM42,300.

Daripada 174 notis kesalahan tersebut, sebanyak 137 notis telah dikeluarkan dibawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2018) iaitu kesalahan merokok ditempat makan, 26 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(a) iaitu Tuan Punya Premis gagal mempamerkan tanda dilarang merokok, dan 5 notis kesalahan lagi dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu Tuan Punya Premis menyediakan kemudahan merokok.

Selain itu, pihak JKN Sarawak juga telah mengeluarkan sebanyak 6 notis kesalahan di bawah peraturan 13(1) iaitu larangan mengenai merokok dan sebagainya kepada Orang Belum Dewasa (OBD) di bawah umur 18 tahun.

Daripada 6 orang yang melakukan kesalahan ini, empat (4) orang merupakan pelajar sekolah dan mereka telah dirujuk kepada sekolah masing-masing.

Dua orang lagi adalah lepasan sekolah. Kompaun bagi kesalahan ini adalah sebanyak RM50 dan tiada pengurangan.

Mana-mana individu atau pemilik premis yang telah menerima notis kesalahan adalah diingatkan untuk menjelaskan kompoun di mana-mana Pejabat Kesihatan Bahagian atau Daerah yang terdekat dalam tempoh tidak melebihi dua bulan dari tarikh izin kompaun diterima.

Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan dalam tempoh SATU bulan.

Manakala bagi kesalahan kedua pula, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan.

Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

Kegagalan membayar kompaun dalam tempoh melebihi dua bulan, tindakan mahkamah akan diambil dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dibawah Peraturan 11(1)(d), manakala kesalahan dibawah Peraturan 12(1)(a), Tuan Punya Premis jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan manakala dibawah Peraturan 12(1)(b) pula, jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Pihak KKM khususnya Jabatan Kesihatan Sarawak menyeru semua pihak serta orang ramai terutama mereka yang merokok supaya memberi kerjasama agar sentiasa mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terutamanya yang bukan perokok, dan mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit jantung, ashma, ibu mengandung dan kanak-kanak dapat dilindungi.

Kegagalan memberi kerjasama kepada anggota penguatkuasa seperti enggan memberi maklumat peribadi, adalah melakukan satu kesalahan dibawah Seksyen 4(4) Akta Makanan 1983 iaitu menghalang tugas penjawat awam dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tidak melebihi satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kepada mereka yang masih mahu merokok hendaklah berada pada jarak lebih dari tiga (3) meter dari tempat makan atau dari meja terakhir makanan dihidangkan.

DR. JAMILAH BT HASHIM
PENGARAH KESIHATAN NEGERI SARAWAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: