Rata-rata tolak cadangan belajar di kolam hotel

GAMBAR HIASAN

Cadangan untuk mengadakan kelas renang menggunakan kolam di hotel menjadi ‘bahan’ netizen sejak ia disuarakan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

Ada yang mempersoalkan hotel mana sanggup berbuat demikian kerana dikhuatiri mengganggu penginap hotel yang ingin menenangkan fikiran ketika bercuti atau sebagainya.

Gurauan netizen juga mempersoalkan bagaimana hendak mengadakan kelas renang untuk pelajar di luar bandar atau pedalaman yang tidak memiliki hotel.

Seribu satu persoalan diajukan mereka menerusi media sosial.

Bernama melaporkan Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) bahagian Sarawak menolak cadangan Kementerian Pendidikan untuk membenarkan pelajar menggunakan kolam renang di hotel untuk menjalani aktiviti renang sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hotel.

Setiausaha Kehormatnya, John Teo Peng Yew berkata tanggungjawab itu seharusnya digalas oleh kolam renang awam yang sentiasa mempunyai atendan kolam renang berkelayakan yang bertugas sepanjang waktu operasi.

“(Cadangan itu) tidak wajar oleh sebab ia hanya akan mengganggu ketenteraman di kolam renang hotel, pelajar akan membuat bising, melompat masuk dan keluar dari kolam, mewujudkan suasana riuh rendah dan ini akan mengganggu tetamu hotel,” katanya.

Tambahan pula, katanya, kolam renang hotel dikhaskan bagi tetamu hotel dan ia sentiasa dipenuhi tetamu hotel yang mahu menikmati keadaan aman di sekitar kawasan serta di dalam kolam renang itu.

“Tetamu yang menginap mungkin tidak akan lagi memilih hotel berkenaan kerana mereka tidak dapat menikmati ketenteraman di kolam renang hotel,” katanya.

Teo seterusnya menjelaskan kolam renang hotel bukanlah untuk kegunaan awam, disebabkan saiznya lebih kecil berbanding kolam renang awam.

“Kerajaan seharusnya menggalakkan semua sekolah untuk mengadakan kelas latihan yang ditawarkan oleh perenang bertauliah yang juga pengawal kolam renang disebabkan mereka berupaya melakukan tugas menjaga keselamatan di kolam,” katanya.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik dipetik sebagai berkata kementerian itu bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan pengusaha hotel berhubung cadangan itu sebagai sebahagian daripada program CSR hotel.

Beliau berkata cadangan agar kolam renang hotel digunakan disebabkan tidak semua sekolah terletak berhampiran koram renang awam atau dilengkapi kemudahan itu.

Cadangan untuk memperkenalkan aktiviti renang di sekolah berikutan beberapa kes lemas membabitkan kanak-kanak di negara ini.

Rentetan itu, Maszlee hari ini melahirkan kekecewaannya apabila cadangannya meminta pihak hotel membuka kolam renang mereka kepada pelajar telah diambil luar dari konteks oleh media dan seterusnya mencetuskan salah faham.

Awani melaporkan beliau berkata cadangannya itu tidak hanya merujuk kepada pihak hotel semata-semata tapi kepada semua pihak baik syarikat swasta, universiti, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk membantu Kementerian Pendidikan.

Bahkan katanya, beliau juga tidak memaksa pihak hotel untuk mengikut cadangan tersebut tetapi lebih kepada sukarela.

“Usaha kita adalah untuk menaik taraf pendidikan yang tidak hanya tertumpu kepada akademik semata namun kepada survival hidup, kemahiran berenang.

“Malangnya, kenyataan saya hanya dipetik melalui satu pandangan bagaimana sekolah yang tak mempunyai kemudahan sekolah renang dan saya katakan bahawa kalau tiada kolam renang awam maka kita meminta supaya ada hotel lakukan CSR mereka.

“Tapi saya tak paksa mereka, dan mereka perlu tampil secara sukarela,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: