Putu mayang tawan selera warga Kuching

Sejak lebih 20 tahun lalu, kehadiran lelaki bermotosikal ini sering dinantikan penggemar putu mayang di sekitar bandar raya ini.

Abu Bakar Rajab, 58, mula menjual putu mayang hasil resipi yang diperoleh ketika ‘berguru’ dengan beberapa penjual semasa bekerja di Kedah.

“Resipi ini saya belajar di Kedah sekitar 1992, saya belajar dengan lebih tiga orang guru kaum India sebelum betul-betul mahir dan mulakan sendiri perniagaan menjual putu mayang di Kedah. Apabila kembali semula ke Kuching saya ambil keputusan untuk menjual putu mayang di beberapa lokasi seperti di Jalan Gambier, Lebuh India dan Tabuan Melayu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abu Bakar akan menggunakan motosikal dengan meletakkan putu mayang di dalam bekas khas di bahagian belakang kenderaan dua roda itu untuk ‘berjajak’ (bahasa Melayu Sarawak bermaksud berjual dari satu lokasi ke satu lokasi)

“Sewaktu mula menjual putu mayang lebih 20 tahun lalu, agak sukar untuk beli makanan tradisi masyarakat India ini di sekitar Kuching. Kalau ada pun, mereka terus menggunakan mihun sebagai bahan utama berbanding saya mulakan proses membuat menggunakan bahan-bahan seperti tepung beras dan lain-lain sehingga akhirnya menghasilkan putu mayang,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Ketika temu bual ini diadakan, Abu Bakar yang fasih bertutur Hokkien, Melanau, bahasa Inggeris dan Melayu Sarawak tidak jemu-jemu menyapa orang ramai yang lalu-lalang supaya membeli putu mayang jualannya itu.

“Mulut kena rajin panggil orang, kita berjaja tak boleh duduk diam tunggu orang datang. Itu antara teknik komunikasi saya untuk lariskan jualan,” katanya yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Sumber: Facebook Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: