Pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk pertanian beroperasi 20 Januari 2020.

Pada 20 Januari 2020, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan produk-produk pertanian (CPPC) yang pertama di Sarawak di Tarat, Jalan Kuching-Serian akan mula beroperasi.

Kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf premis CPPC berkenaan yang pernah digunakan untuk pemprosesan lada, kini siap dengan kos kira-kira RM5.6 juta.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata CPPC dijangka dapat meningkatkan eksport produk durian dari Sarawak.

“Ia merupakan pusat pertama seumpamanya di bawah Jabatan Pertanian di negeri ini dan firma pengeksport buah tempatan, Top Fruit Sarawak Sdn Bhd, diberi tanggungjawab mengendalikannya,” katanya dalam satu kenyataan pada 24 Disember 2019.

Menurutnya, pusat itu akan digunakan untuk menghasilkan pulpa dan pes durian yang akan dieksport terus ke China.

Beliau berkata kemudahan di pusat itu memenuhi standard untuk membolehkannya memperolehi pensijilan Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP), Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan.

Uggah berkata para petani di kawasan sekitar Tarat turut dialu-alukan supaya menjual hasil tanaman mereka ke pusat berkenaan dan menurutnya sebuah lagi pusat seumpama itu sedang dibangunkan di Simpang Layar di Betong.

Untuk tahun ini, Sarawak telah menjual 100 tan pes durian ke China dan menyasarkan peningkatan 100 tan lagi pada musim durian akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: