Prejudis terhadap projek bahayakan pembangunan luar bandar

Jangan hanya kerana matlamat politik, keperluan rakyat terutama di luar bandar terjejas pelaksanaannya.

Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Haji Julaihi Haji Narawi berkata beliau kecewa dengan sikap pihak tertentu yang seolah-olah ingin menafikan hak penduduk pesisir dan pedalaman.

Beliau merujuk projek pembinaan jambatan di laluan pesisir dan pedalaman negeri ini.

“Pihak ini jangan ikut nafsu politik semata-mata, sehinggakan menyebabkan keperluan rakyat di luar bandar boleh terjejas. Tindakan pihak ini bersifat kejam terhadap keperluan rakyat di luar bandar.

“Jangan terlalu prejudis terhadap projek yang cuba dilaksanakan di luar bandar,” ujarnya pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, pada Khamis.

Beliau menjawab soalan dikemukakan ADUN Beting Maro YB Razaili Haji Gapor dan ADUN Telang Usan YB Dennis Ngau berhubung pembinaan Jambatan Batang Lupar, Jambatan Saribas, Jambatan Krian, Jambatan Long Lama dan Jambatan Marudi.

Jambatan-jambatan ini diumum kelulusan pembinaannya oleh YAB Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Openg menerusi pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (2019) pada Isnin yang lalu.

Projek-projek yang akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri akan bermula dengan pengeluaran tender pada hujung tahun ini.

Anggaran kos pembinaan Jambatan Batang Lupar ialah RM1 bilion, Saribas (RM495 juta), Krian (RM174 juta), Long Lama (RM67.1 juta) dan Marudi (RM90 juta).

Julaihi merangkap ADUN Sebuyau menjelaskan, meskipun projek Jambatan Batang Lupar pada asalnya dibiayai pembinaan berkongsi dana dengan kerajaan persekutuan yang terdahulu dan kemudiannya ditangguh oleh kerajaan persekutuan sekarang, kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan Abang Johari tetap meneruskan.

“Inilah bukti Gabungan Parti Sarawak (GPS) benar-benar memahami keperluan penduduk seluruh Sarawak,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: