Pos kawalan keselamatan baharu di Telok Melano diwujudkan

Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bersetuju menubuhkan pos kawalan keselamatan baharu di Telok Melano, sempadan Malaysia-Indonesia.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penubuhan pos kawalan itu selepas pembukaan jajaran Lebuhraya Pan Borneo di kawasan itu baru-baru ini dan ia perlu diselaraskan untuk tujuan keselamatan dan ekonomi.

“Kabinet Malaysia putuskan untuk adakan pusat kawalan sempadan yang baharu, dengan sokongan daripada kerajaan Sarawak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah bersetuju.

“Sarawak akan memberi bantuan dengan menyediakan tapak dan bangunan yang akan dibina pada peringkat awal. Sarawak juga bermurah hati untuk mengeluarkan peruntukan RM9 juta yang RM500,000 telah dikeluarkan untuk kita mulakan kerja-kerja awal,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata projek itu juga akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan beberapa agensi persekutuan dan negeri akan terlibat bersama dan langkah seterusnya akan diperincikan dengan lebih teliti supaya projek itu akan dilaksanakan dengan jayanya.

“Bagi pihak Indonesia pula, memang ada perjanjian rentas sempadan dan kita juga akan perbaharui dengan pihak mereka yang kedua-dua negara akan mendapat manfaatnya,” tambahnya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri di Wisma Bapa, Kuching pada 29 Julai 2019.

Beliau berkata kunjungan itu bagi membincangkan cara untuk membentuk kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Katanya perbincangan berjalan lancar serta menyentuh pelbagai aspek khususnya berkaitan kementeriannya.

“Walaupun GPS (Gabungan Parti Sarawak) tidak menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan tetapi beliau (Abang Johari) percaya Sarawak perlu ada hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan untuk faedah rakyat Sarawak,” katanya.

SUMBER
http://www.bernama.com/state-news/beritabm.php?id=1751597

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: