Pinjaman dibayar Sarawak mesti digunakan baiki sekolah di Sarawak, bukan untuk negeri lain.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg menegaskan kerajaan negeri tidak takut membayar pinjaman kepada kerajaan persekutuan.

Katanya kerajaan negeri sedia membayar hutang asalkan ia diguna untuk membaikpulih sekolah daif di negeri ini demi masa depan anak-anak.

“Ketepikan politik, kita perlu membina sekolah di luar bandar walaupun perlu membayar pendahuluan pinjaman itu menggunakan wang negeri tetapi mesti diguna untuk Sarawak.

“Jangan salurkan kepada Kelantan, jangan bagi Melaka, Pahang. Mesti untuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan GPS Zon 11A (kawasan DUN Pelagus, Katibas, Bukit Goram dan Baleh) di Rumah Robert Ngumbang, Nanga Sebatu, Song pada Ahad.

Abang Johari berkata isu pembayaran semula hutang dan peruntukan bagi membaikpulih sekolah daif telah dipersetujui antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkara kerajaan persekutuan akan menyegerakan proses penyaluran dana RM350 juta bagi fasa pertama projek membaikpulih sekolah daif di Sarawak asalkan kerajaan negeri membayar RM350 juta sebagai pembayaran pinjaman kepada kerajaaan persekutuan.

Menurut Lim, kerajaan negeri Sarawak masih berhutang RM2.352 bilion setakat 30 Jun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: