Piala KPD Samarahan,16 pasukan berentap

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 16 pasukan terdiri daripada jabatan kerajaan di daerah Samarahan akan berentap merebut kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Daerah (KPD) sempena Peringatan Hari Polis Ke-212 tahun 2019 anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.

Pasukan tersebut ialah IPD Samarahan, Risda, Felcra, IPK Sarawak, IPD Padawan, Immigresen, Sentosa Medic, Landas (Land & survey), AADK, Pendidikan FC, 3 Rejimen Askar Jurutera DiRaja, Pulapol Sarawak, TLDM Kuching, IPD Kuching, PB UiTM Samarahan dan Education Samarahan.

Pengerusi Penganjur, ASP Mike Ibrahim berkata, kejohanan itu diadakan bertujuan mewujudkan jalinan kerjasama yang lebih erat antara jabatan-jabatan kerajaan peringkat persekutuan atau negeri terutama dalam daerah Samarahan.

“Majlis perasmian kejohanan ini akan diadakan pada 29 Mac ini bertempat di Stadium Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan pada jam 4 petang.

“Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Lee Chong Chern akan melakukan majlis perasmian pertandingan ini,” katanya.

Katanya, padang yang akan digunakan sepanjang kejohanan ialah stadium Unimas, padang Intan dan padang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus 2.

“Semua perlawanan akan dilangsungkan pada hujung minggu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

“Perlawanan akhir akan diadakan pada 28 April 2019 di padang Intan Cawangan Sarawak, Kota Samarahan,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak penganjur berharap kejohanan edisi pertama itu mampu mencapai objektif yang disasarkan iaitu untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.

“Selain itu, kita juga ingin menggalakkan aktiviti sukan sebagai budaya hidup yang sihat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: