Petrol turun 27 sen, diesel turun 14 sen, Lim Guan Eng

Kenyataan media
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
4 Januari 2019

Sebagaimana yang telah dijanjikan, Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan trend penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Selaras dengan itu, Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan pada 2 Januari 2019 dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat pertimbangan ke atas perkara tersebut dan bersetuju supaya penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan mulai 12 tengah malam Sabtu, 5 Januari 2019.

Bagi tempoh mulai 5 Januari 2019 sehingga 11 Januari 2019, harga runcit petrol RON97 akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter, harga runcit bagi petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.20 seliter kepada RM1.93 seliter, manakala harga runcit diesel akan diturunkan daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Seterusnya, harga runcit produk petroleum ini akan diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), sejajar dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia pada ketika ini.

Pengumuman harga runcit akan dibuat pada hari Jumaat setiap minggu, dan berkuat kuasa mulai hari Sabtu sehingga Jumaat. Perlu ditegaskan bahawa harga baharu ini mengambil kira tambahan komisen atau margin pengusaha stesen minyak yang diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Januari 2019.

Keputusan pelarasan semula harga runcit produk petroleum ini juga telah pun mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, termasuk permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang telah bertemu dengan YAB Perdana Menteri dan memohon supaya diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula APM, yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

Sehubungan ini, Kerajaan telah bersetuju supaya Margin Pengusaha Stesen Minyak diselaraskan dengan tambahan 2.81 sen kepada 15 sen seliter bagi produk petrol RON95 dan tambahan 3 sen kepada 10 sen seliter bagi produk diesel. Ini merupakan kenaikan sebanyak 2.81 sen seliter bagi petrol dan 3 sen seliter bagi diesel, berbanding kadar semasa. Kali terakhir kadar margin ini disemak semula adalah pada tahun 2008.

Kerajaan juga akan terus komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi. Kaedah baru ini ialah inisiatif Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang tidak pernah diamalkan sebelum ini.

Pengekalan harga pada paras ini adalah sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran.

Sayangi Malaysiaku!

SUMBER: www.treasury.gov.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: