Peruntukan RM80 juta Baitulmal Sarawak bantu asnaf

Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) akan mengagihkan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi membantu golongan asnaf atau fakir di negeri ini sepanjang tahun 2020.

Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata peruntukan terbabit meningkat sebanyak RM5 juta tahun ini berbanding tahun 2019.

“Peruntukan RM80 juta bagi membantu golongan asnaf (di Sarawak) tahun ini dalam tiga program utama kami iaitu bantuan pendidikan, bantuan kebajikan dan bantuan institusi Islam,” katanya selepas menyampaikan bantuan beg dan pakaian sekolah dalam Program Baitulmal Bersama Asnaf-Back To School di Kuching pada 1 Januari 2020.

Katanya dianggarkan lebih 3,000 golongan asnaf yang akan menerima bantuan terbabit tahun ini.

“Kita hanya mahu membantu orang yang benar-benar berhak mendapat bantuan ini atau mereka yang dalam kategori fakir dan lebih memerlukan bantuan dari kategori miskin,” katanya.

Abang Mohd Shibli menjelaskan peruntukan RM80 juta itu diperoleh melalui kutipan zakat dari umat Islam seluruh Sarawak yang disasarkan akan mencecah RM100 juta tahun ini yang mana kutipan itu mencecah RM90 juta tahun lepas.

Katanya dalam tempoh lima tahun lepas, jumlah kutipan zakat oleh TBS meningkat sebanyak lima sehingga 10 peratus setiap tahun.

Menurutnya, bagi meningkatkan lagi kutipan dan memudahkan umat Islam di negeri ini membayar zakat kepada TBS, pihaknya memulakan kaedah pembayaran secara atas talian hari ini dan melalui pemotongan gaji.

SUMBER – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: