Peruntukan pembangunan luar bandar Sarawak bertambah saban tahun

KERAJAAN Sarawak sentiasa konsisten dalam perjuangan membangunkan luar bandar agar jarak pemisah antara kawasan itu dengan bandar tidak terlalu jauh.

Peruntukan dana menerusi bajet tahunan kerajaan negeri membuktikan komitmen tinggi memajukan kawasan luar bandar. Dana berkenaan adalah untuk melaksanakan projek-projek infrastruktur asas, antaranya ialah jalan raya, jeti, bekalan air dan bekalan elektrik.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg pada Isnin lepas menerusi pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (2019) di sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak seperti dilaporkan Berita Harian Online berkata kerajaan negeri komited memperhebat pelaksanaan program dan projek di kawasan luar bandar dengan memperuntukkan dana yang besar.

Secara tidak langsung, ini menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kawasan luar bandar tidak dipedulikan.

Ketika Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri, beliau begitu menekankan perihal pembangunan luar bandar, sama seperti ketua-ketua menteri terdahulu termasuk Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Peruntukan ini (besar) selaras dengan komitmen kami (kerajaan negeri) untuk memberi lebih tumpuan kepada program dan projek di kawasan luar bandar untuk mempercepatkan transformasi luar bandar. Ia juga untuk membuka lebih banyak peluang yang memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar,” kata Adenan (Tok Nan) seperti dilaporkan Bernama pada 2015.

Berikut merupakan dana dalam setiap Bajet Sarawak dikhaskan untuk pembangunan luar bandar yang menunjukkan peningkatan setiap tahun.

Bajet 2014 – RM2.19 bilion
Bajet 2015 – RM2.35 bilion
Bajet 2016 – RM2.65 bilion
Bajet 2017 – RM2.98 bilion
Bajet 2018 – RM3.06 bilion
Bajet 2019 – RM6.05 bilion

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: