Perjuangan GPS mempertahankan hak Sarawak dan rakyat – Abang Joe

Foto kredit Jiwa Bakti

Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah gabungan yang akan mempertahankan Sarawak dari sudut hak-haknya mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Sarawak, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kita akan mempertahan Sarawak mengikut lunas-lunas perlembagaan, memberi keadilan serta mempertahankan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GPS dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian semasa berucap pada pelancaran Program Rali Jelajah GPS dan memperkenalkan logo dan lagu GPS di ibu pejabat PBB di Kuching, pada Rabu.

“GPS juga akan meneruskan usaha membangunkan negeri Sarawak dalam era yang baharu, di mana kita akan menambahkan nilai-nilai hidup, nilai suci dan juga nilai-nilai ekonomi yang terdapat di bumi Kenyalang ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua komponen GPS, iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) untuk bersama-sama bergerak mempertahankan bumi kenyalang bertuah ini.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata pada mesyuarat Majls Kepimpinan Tertinggi hari ini, beliau menjelaskan bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan perlembagaan dan logo GPS.

Sehubungan itu beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana meluluskan permohonan GPS sebagai entititi politik anak-anak Sarawak.

Diminta mengulas isu cukai pelancongan dan pinjaman kerajaan negeri kepada kerajaan pusat, Abang Johari mahu supaya debat mengenai isu itu dihentikan.

Katanya, beliau telahpun memberi kenyataan mengenai pinjaman kerajaan pusat kepada kerajaan negeri dan mengenai agihan cukai pelancongan 50 peratus kepada Sarawak, dan beliau mahu perkara itu diselesaikan secara baik.

SUMBER: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: