PENSTRUKTURAN DAN TRANFORMASI JABATAN HUTAN SARAWAK DAN SARAWAK FORESTRY CORPORATION

Kenyataan Akhbar
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 12 Disember 2019, telah meluluskan penstrukturan dan tranformasi Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation berkuatkuasa pada 2 Januari 2020.

Dalam proses penstrukturan ini, peranan Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) akan diambilalih sepenuhnya oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) iaitu sebuah agensi di bawah badan berkanun Kerajaan Negeri.

Pemindahan peranan ini turut melibatkan penyerapan kakitangan daripada Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) ke Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta cadangan padanan jawatan SFCSB sedia ada ke skim Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Manakala, Jabatan Hutan Sarawak juga akan distruktur semula organisasinya bagi memantapkan peranan Jabatan ini dalam pengurusan hutan yang lebih mampan dan cemerlang termasuk mencapai pengiktirafan antarabangsa.

Sehubungan dengan itu, terdapat perubahan fungsi bagi kedua-dua agensi tersebut seperti berikut:

1. Jabatan Hutan Sarawak mengambilalih semula fungsi Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang di bawah Forests Ordinance, 2015 iaitu pengurusan hutan, penyelidikan dan pembangunan hutan, kejuruteraan hutan, pematuhan hutan, pematuhan dan kutipan hasil serta ladang hutan; dan

2. Sarawak Forestry Corporation (SFC) pula akan mengambil alih semua fungsi di bawah National Parks and Nature Reserves Ordinance 1998, dan Wild Life Protection Ordinance 1998 iaitu yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran Kawasan Terlindung Sepenuhnya iaitu Taman Negara, Rezab Semulajadi dan Sanktuari Hidupan Liar. Ini termasuk juga pengurusan dan pemeliharaan hidupan liar;

Proses pemindahan fungsi Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) yang berkaitan tadi ke Jabatan Hutan Sarawak akan melibatkan pemindahan kakitangan SFCSB yang berjumlah 377 orang.

Jabatan Hutan Sarawak juga akan mengambil alih semua aset termasuk kenderaan yang digunakan oleh SFCSB dalam menjalankan fungsi-fungsi di bawah Forests Ordinance 2015 bagi memastikan pelaksanaan fungsi-fungsi berkenaan tidak terjejas dan berjalan dengan lancar.

Sehubungan dengan itu, pihak awam dan pemain industri adalah diminta untuk mengambil maklum mengenai perubahan peranan kedua-dua agensi ini agar mereka tidak keliru dalam urusan yang berkaitan dengan urusniaga dan kerja masing-masing. Sebarang penyaluran maklumat atau urusniaga hendaklah berhubung dengan agensi-agensi yang berkaitan tadi.

Sekian terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: