Penganugerahan tender projek di Sarawak babitkan SPRM

Kerajaan Sarawak akan mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyertai proses penganugerahan tender mulai tahun depan.

YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata kerajaan akan menyertakan Ketua Audit Negara ketika proses dilakukan oleh Lembaga Tender Pusat Negeri Sarawak.

Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mematuhi semua prosedur kewangan ditetapkan di bawah undang-undang dan peruntukan kewangan seperti yang diarahkan oleh Perbendaharaan.

“Dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, kita tidak mahu integriti dan keikhlasan kita dipersoalkan.

“Bagi menambahbaik pencapaian cemerlang kita dan rekod pentadbiran yang baik saya akan merangkumkan Ketua Audit Negara untuk duduk dalam jawatankuasa penganugerahan projek di bawah Lembaga Tender Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kewangan Negeri.

“Saya juga akan mempelawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mesyuarat Tender Negeri,” ujarnya.

Beliau tidak mahu dakwaan rasuah terhadap dirinya dan barisan menteri Kabinet negeri berterusan sehingga mewujudkan persepsi buruk dalam kalangan rakyat.

“Tanpa sebarang bukti mengenai salah laku itu, ia sekadar memberikan persepsi negatif rakyat kepada kepimpinan kerajaan negeri,” katanya.

Ketua Menteri mengumumkan perkara ini semasa sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching, pada Rabu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: