Pelancongan antara penyumbang pendapatan Sarawak

Sektor pelancongan merupakan komponen penting dalam kemajuan ekonomi Sarawak, justeru ia harus dibangunkan lagi.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg berkata pada tahun 2017, Sarawak menerima 4.86 juta pelawat yang membelanjakan RM8.59 bilion, menyumbang 7.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasarnya.

“Kita berharap menjelang akhir tahun ini dapat mencapai 5.25 juta pelawat ke negeri ini,” katanya ketika melancarkan Pusat Kepakaran Serantau (RCE) Kuching dan Sidang Kemuncak Subject Focus QS mengenai Hospitaliti dan Pelancongan di Universiti UCSI di Kuching, pada Rabu.

Sarawak katanya mempunyai alam semula jadi yang hebat dan budaya yang menarik, manakala rakyatnya hidup bersama dalam harmoni.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menambah taman negara kerana persekitaran hijau jadi antara daya tarikan Sarawak kepada pelancong, selain budaya, pengembaraan dan alam semula jadi telah dapat menarik ketibaan pelancong ke Sarawak.

“Pelancong yang suka berbelanja boleh ke Singapura dan bagi mereka yang ingin melihat hutan, budaya, alam semula jadi dan Orang Utan kita, mereka boleh datang ke Sarawak,” katanya.

Kini lebih banyak pelancong muda China datang ke Sarawak untuk mendaki Gunung Santubong.

Kerajaan Sarawak jelasnya akan merangka beberapa inisiatif termasuk untuk menggalakkan kerjasama antara sektor korporat dan agensi kerajaan meneroka peluang baru.

Sarawak memperuntukkan sejumlah besar belanjawannya untuk membangunkan rangkaian jalan dalam tempoh dua tahun akan datang selain daripada Lebuh raya Pan Borneo, yang sedang dibina.

Peruntukan sebanyak RM1 bilion juga disediakan bagi pembangunan infrastruktur digital di kawasan bandar dan luar bandar.

Sarawak mensasarkan kehadiran lima juta pelancong bagi tahun 2019 berikutan pelancaran kempen ‘Visit Sarawak’.

Anggaran berkenaan adalah sama dengan sasaran tahun 2017 tapi mungkin berlaku peningkatan jumlah pelancong khususnya dari luar negara iaitu China dan Singapura.

Bagi tahun 2018, Sarawak menjangkakan ketibaan 4.5 juta pelancong asing, dengan pendapatan RM8.05 bilion.

Setakat Januari-September 2018, bilangan pelancong asing ke Sarawak 3.2 juta, turun 13.27 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2017.

Pelawat dari Brunei, Indonesia, Filipina, China dan Singapura merupakan yang utama masuk ke Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: