Pelabur diseru rebut peluang pelaburan berteknologi tinggi di Sarawak

Syarikat yang terlibat dengan teknologi tinggi, elektrik dan elektronik (E&E) serta bahan termaju diseru untuk merebut peluang-peluang pelaburan di Sarawak.

Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sarawak, Datuk Liaw Soon Eng berkata negeri itu menawarkan pelbagai insentif kepada para pelabur bagi penubuhan kemudahan perkilangan seperti status perintis, tarif elektrik yang lebih rendah, elaun cukai pelaburan, terma pembayaran serta rebat untuk tanah industri yang fleksibel jika sesuatu projek disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Sebagai salah satu daripada tiga destinasi pelaburan di Malaysia, Sarawak menawarkan banyak kelebihan kepada syarikat-syarikat pembuatan,” katanya.

Syarikat-syarikat yang berminat digalakkan untuk mengasaskan perniagaan mereka di Sama Jaya High-Tech Park, sebuah zon perindustrian berteknologi tinggi di Sarawak yang menjadi pilihan pengeluar panel solar dan semikonduktor dari Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan China.

“Kami mahu pelaburan berteknologi tinggi yang mampu memberi manfaat kepada negeri ini. Sektor lain yang menjadi sasaran kami adalah Internet Pelbagai Perkara (IoT), kerana kami merancang untuk menubuhkan sebuah pusat data di sini (di Sama Jaya).

“Sama Jaya dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan yang baik termasuk perkhidmatan sokongan. Kami (kerajaan negeri) juga menawarkan kadar harga yang sangat kompetitif bagi tenaga, air dan tanah untuk perniagaan,” katanya kepada Bernama semasa seminar Siri Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) : Membuka Potensi Perniagaan Negeri di Kuala Lumpur, Selasa.

Sama Jaya Park telah berkembang sehingga merangkumi beberapa syarikat multinasional utama seperti X-FAB Sarawak Sdn Bhd (semikonduktor), LONGi (Kuching) Sdn Bhd (solar, wafer, sel-sel serta modul) dan Iljin Material co Ltd dari Korea Selatan, pengeluar kerajang tembaga bagi telefon pintar dan kenderaan elektrik.

Sehingga September tahun lepas, Sarawak telah berjaya menarik sehingga RM137.3 bilion dalam pelaburan membabitkan 1,120 projek-projek perkilangan yang diluluskan dan sejak MIDA ditubuhkan pada 1967.

Pengarah Eksekutif Kanan untuk Pembangunan dan Perancangan Strategik MIDA, Zabidi Mahbar berkata projek-projek ini telah mewujudkan lebih 175,000 peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor gas asli, bahan kimia, barangan logam asas serta E&E.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: