PDP Pan Borneo Sarawak: Bukan RM21.9 bilion, tetapi RM15.13 bilion

Dato’ Sri Fadillah Yusof
Ahli Parlimen Petra Jaya
Bekas Menteri Kerja Raya

Kenyataan terkini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengenai penjimatan RM3.1 bilion atau pengurangan kos sebanyak 14% daripada penamatan perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, amat mengelirukan.

Sasaran asal kos projek berkenaan dihadkan kepada RM16.488 bilion dan bukannya RM21.9 bilion, dengan sasaran tarikh siap pada penghujung 2021.

Sehingga kini jadual pelaksanaan projek berkenaan di landasan yang betul, manakala dari segi kos juga adalah terkawal.

Malah PDP berkenaan pada Mac 2019 telah mengumumkan ia boleh mencapai lebih banyak penjimatan iaitu sebanyak RM2 bilion daripada kos asal berikutan perubahan kawalan pengurusan serta penghasilan reka bentuk yang cekap.

Oleh itu, sasaran kos asal sekali lagi disemak kepada RM15.13 bilion sekarang ini, angka yang lebih rendah daripada kos asal RM21.9 bilion yang dinyatakan Lim, dan kos semakan RM18.8 bilion.

Sebab utama kenapa Kerajaan BN sebelum ini menggunakan model PDP adalah kerana kejayaan penggunaannya dalam projek MRT 1 yang berjaya disiapkan lebih rendah daripada bajet asal dan dalam batas waktu.

Model PDP memberi insentif kepada syarikat untuk mengawal kos kerana kos lebihan akan membawa kepada penalti yang berat dalam bentuk pengurangan.

Itu juga sebabnya kenapa kerajaan Pulau Pinang mengguna pakai model sama untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

Ini kerana DAP tidak mempunyai rekod prestasi cemerlang untuk mencapai kos sasaran dan tarikh siap yang disasarkan untuk projek prasarana mereka di Pulau Pinang.

Dengan penamatan PDP dan pengumuman terkini Guan Eng itu, projek Pan Borneo Sarawak kini berdepan risiko ditangguhkan daripada sasaran asal penyiapannya pada 2021 dan kos nya juga dijangka akan meningkat berbanding RM15.13 bilion sasaran kos ketika ini.

Apabila ini berlaku, semua rakyat Sarawak harus tahu siapa yang bertanggungjawab.

Berita mengenai kenyataan Lim Guan Eng https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/653219/kerajaan-jimat-rm31-bilion-kerana-tamatkan-khidmat-pdp-pan-borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: