Padang Kampung Tebaang gilap bakat anak muda

Kerajaan memperuntukkan RM200,000 bagi menaik taraf padang Kampung Tebaang supaya dapat dimanfaatkan untuk mengasah bakat anak muda dalam bidang sukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, usaha itu membuktikan kerajaan serius mengerakkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi selain memenuhi keperluan anak muda dalam bidang berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 bagi pembinaan astaka yang akan dilaksanakan secara gotong royong oleh penduduk kampung.

“Adanya padang ini diharap dapat memberi rangsangan kepada anak-anak muda untuk melibatkan diri dalam sukan di samping mencungkil bakat sedia ada.

“Jaga padang ini sebaik-baiknya demi manfaat bersama. Dengan kemudahan ini, pelbagai program berkaitan juga boleh diadakan pada bila-bila masa,” katanya pada majlis perasmian Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Unit Kampung Tebaang.

Melalui prasarana itu katanya, kerajaan optimis lebih ramai anak muda tempatan yang berbakat dalam sukan boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Bagaimana pun impian ini harus disusuli dengan komitmen, bakat dan usaha yang bersungguh-sungguh,” tambahnya.

SUMBER: FB Jiwa Bakti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: