Minyak dan gas menjadi eksport utama Sarawak dari Jan – Feb 2019

Minyak dan gas merupakan antara komoditi utama yang menjadi penyumbang secara berterusan kepada ekonomi Sarawak dalam tempoh dua bulan tahun ini.

Menteri Muda Pembangunan Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, setakat Februari 2019, minyak dan gas menyumbang 64.85 peratus, diikuti barangan perkilangan (24.02 peratus), produk pertanian (10.61 peratus) dan lain-lain barang dagangan (0.53 peratus).

“Produk keluaran Sarawak, khususnya komoditi utama seperti minyak dan gas, barangan perkilangan dan produk pertanian, mendapat permintaan dalam pasaran global kerana kualitinya yang tinggi,” katanya ketika menjawab soalan Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) pada sidang
Dewan Undangan Negeri Sarawak, Isnin.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, katanya terimaan eksport daripada gas asli cecair (LNG) kekal menjadi penyumbang terbesar iaitu 48.3 peratus, diikuti petroleum mentah sebanyak 11.1 peratus dan kelapa sawit sebanyak 7.8 peratus.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, Sarawak mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM24.5 bilion dalam dua bulan pertama pada 2019, peningkatan 9.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Keseluruhan nilai dagangan sebanyak RM22.4 bilion telah direkodkan dari Januari ke Februari tahun lepas.

Mohd Naroden berkata walaupun Sarawak mengeksport produk pertanian, namun jumlahnya kecil berbanding potensi permintaan yang tinggi ke atas buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan, nanas, mangga dan pisang, oleh negara seperti China.

Mengenai import, beliau berkata pengimportan lebih tinggi ke atas mesin dan peralatan kenderaan iaitu 33.8 peratus daripada keseluruhan import, adalah untuk pembangunan infrastruktur utama di negeri ini.

Menjawab soalan tambahan Ngau, beliau bekata majoriti Orang Ulu melibatkan diri dalam industri kraf tangan dengan 201 pengusaha Orang Ulu menjana pendapatan sebanyak RM6.2 juta, selain industri minyak dan gas.

sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: