MEA DAN KERAJAAN NEGERI BINCANG HALA TUJU SARAWAK DALAM RMK-12

Sarawak mampu terus berkembang dari segi pembangunan ekonomi kerana mempunyai kawasan tanah yang luas serta kedudukan yang strategik di Asia Tenggara.

Ini adalah antara pandangan mengenai hala tuju pembangunan Sarawak yang akan diambil kira dan diperincikan dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), 2021-2025.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), dalam satu kenyataan, berkata timbalannya Dr Radzi Jidin telah mengadakan sesi libat urus penyediaan RMK-12 dengan kerajaan Sarawak di Kuching pada Sabtu, yang dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti & Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.

Selain bertujuan untuk membentangkan hala tuju pembangunan negara, ia turut mendapatkan pandangan dan cadangan mengenai hala tuju pembangunan Negeri Sarawak yang akan diambil kira dan diperincikan dalam penyediaan RMK-12.
Sarawak merupakan negeri kelima jelajah sesi libat urus ini selepas Melaka, Johor, Perak dan Sabah.

RMK-12 akan dirangka berasaskan tiga dimensi,iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan perekayasaan sosial.

“Sehubungan itu, dalam usaha memastikan RMK-12 adalah inklusif bagi semua pihak dan mengambil kira kesejahteraan rakyat, pelan-pelan pembangunan negeri akan dijajarkan dengan pelan pembangunan nasional supaya ia selari dari segi dasar dan perancangan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dari segi ketersambungan, Sarawak mudah dihubung dengan bandar raya besar di dunia dengan tempoh perjalanan yang pendek, seperti Hong kong, Jepun, Australia, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Dengan kedudukannya yang strategik, di tengah-tengah kawasan Asia-Pasifik ini, Sarawak berpotensi menjadi pusat pelaburan yang berdaya saing.

(BERNAMA)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: