Mana semangat juang untuk Sarawak?

Catatan di FB YB Datuk Seri Hajah Nancy Shukri, Ahli Parlimen Batang Sadong pada 14 Jan. 2019

Dalam perjalanan balik dari Simunjan selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, saya singgah sebentar di Jambatan Batang Sadong.

Sambil itu saya mengimbau kembali semasa penggal pertama saya menjadi Ahli Parlimen Batang Sadong, pada masa itu adalah Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun 2011 di mana Datuk Seri Najib telah mengadakan tinjauan mesra di kawasan saya bersama calon Sadong Jaya YB Aidel Lariwoo.

Saya mengambil kesempatan itu untuk membawa beliau meninjau keadaan kawasan saya di mana penduduk memerlukan feri untuk menyeberangi sungai dan memohon sebuah jambatan dibina untuk kemudahan penduduk di kawasan Batang Sadong.

Walaupun pada masa itu saya sedar bahawa negara tidak mempunyai bajet untuk membina jambatan menyeberangi Sungai Batang Sadong, tetapi ia tidak menghalang saya daripada memohon.

Dan apa yang menjadi kejutan lantas mengukir senyuman di setiap bibir warga Batang Sadong ketika itu adalah, dalam majlis itu Datuk Seri Najib telah memberikan kelulusan serta-merta untuk pembinaan Jambatan Batang Sadong yang berukuran 1.4 kilometer yang bernilai RM231 juta.

Jambatan Batang Sadong dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan pusat.

Jambatan Batang Sadong yang juga merupakan jambatan merentasi sungai yang terpanjang di Malaysia telah dirasmikan pada Disember 2016, yang mana pada masa itu Allahyarham Tok Nan juga adalah Ketua Menteri Sarawak.

Alhamdulillah, saya tidak pernah ambil mudah ketika Jambatan Batang Sadong berjaya siap dibina dua tahun lalu, dan kalau hari ini ia masih belum siap saya yakin projek pembinaan jambatan akan ditangguh dan dana yang diluluskan untuk pembinaan daripada kerajaan pusat turut ditarik balik.

Walau bagaimanapun saya percaya kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan projek tersebut seperti yang dilakukan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr) Abang Johari untuk Jambatan Batang Lupar dan Jambatan Rambungan yang dana telah ditarik balik oleh kerajaan pusat.

Saya ingin bertanya, apa gunanya Sarawak mempunyai wakil di Kerajaan Persekutuaan yang tidak memohon untuk peruntukan malah terus menyerah kepada negeri Sarawak untuk menanggung kos projek pembinaan jambatan-jambatan?

Tidak cukupkah bahawa Sarawak tidak mendapat pembahagian yang saksama dalam belanjawan persekutuan 2019 dan sekarang dana-dana untuk jambatan pula ditarik balik?

Di mana semangat perjuangan untuk rakyat Sarawak yang sering dilaungkan sebelum ini?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: