MA63, tujuh isu selesai, 14 bincang lanjut

Setakat 23 Julai lepas, tujuh isu Perjanjian Malaysia 1963 telah mendapat persetujuan bersama manakala 14 isu masih memerlukan perbincangan lanjut dan dijangka akan diputuskan sebelum 31 Ogos ini, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia telah mengarahkan Pasukan Petugas Khas Perjanjian Malaysia 1963 (Taskforce MA63) untuk menyediakan satu laporan akhir sebelum 31 Ogos ini untuk dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang akan datang.

Keputusan-keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet tersebut pada 23 Julai lepas dan dihadiri 23 ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet Persekutuan, Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Tujuh isu yang telah mendapat persetujuan bersama ialah:

1. Tuntutan duti eksport balak dan hasil hutan

Perkara ini telah dipersetujui sebagai selesai oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bil. 2/2019 berikutan persetujuan delegasi kuasa kepada Jabatan Perhutanan Sabah telah diberi sejak 1 Jun 2017.

2. Pengedaran gas dan kuasa kawal selia elektrik dan gas

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bersetuju menyerahkan kuasa kawal selia pengedaran gas di Sarawak mengikut Distribution Gas Ordinance (DGO) Sarawak 2016. Manakala Kerajaan Negeri Sabah pula bersetuju untuk melaksanakan ‘Due Diligence’ sebelum penyerahan kuasa kawal selia gas dan elektrik dilakukan.

3. Pelaksanaan Kerja raya Persekutuan dan Negeri

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pemantapan Kolaborasi Pelaksanaan Projek Persekutuan bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan projek Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan mengambil maklum cadangan di dalam Jawatankuasa Antara-Kerajaan (InterGovernmental Committee –IGC).

4. Tenaga buruh

Kerajaan Persekutuan secara prinsipnya tiada halangan melaksanakan tuntutan berhubung penurunan kuasa kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bagi membuat perundangan subsidiari mengenai “labour conditions peculiar to the state” di bawah Ordinan Buruh negeri masing-masing. Tindakan sedang diambil bagi meminda Ordinan Buruh negeri masing-masing.

5. Kuasa negeri ke atas isu kesihatan ,

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Libat Urus secara berkala untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan isu pengurusan kesihatan Negeri Sarawak dan Sabah.

6. Pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan

Secara prinsipnya penyerahan kuasa urus tadbir Pulau Sipadan dan Ligitan khususnya berkaitan pelancongan kepada Kerajaan Negeri Sabah telah dipersetujui. Isu teknikal dan keselamatan sedang diperhalusi.

7. Isu pertanian dan perhutanan

Isu pertanian dan perhutanan pula digugurkan di dalam mesyuarat jawatankuasa ini kerana kedua-dua perkara ini sudah sememangnya di bawah Senarai Negeri.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, rundingan mengenai MA63 itu adalah selaras dengan Janji 40 yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan melalui persetujuan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Jawatankuasa Khas Kabinet ini dibantu oleh Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja dan diurus setiakan oleh pasukan petugas khas dikenali sebagai Taskforce MA63.

Mesyuarat pertama telah diadakan pada 17 Disember 2018 dan 21 isu telah diterima oleh Jawatankuasa Khas Kabinet ini untuk diteliti dan dikaji dengan tiga belas isu tuntutan dikenal pasti sebagai isu bersama melibatkan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah manakala lapan isu lain melibatkan tuntutan Kerajaan Negeri Sabah sahaja, menurut kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: