MA63: DUN SARAWAK LULUS USUL TUBUH JAWATANKUASA PERUNDINGAN

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa sebulat suara meluluskan usul bagi penubuhan Jawatankuasa Perundingan, untuk menasihatkan wakil Sarawak dalam Jawatankuasa Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Usul itu dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan disokong oleh Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol.

Ia diluluskan selepas dibahaskan oleh 31 ADUN termasuk Abdullah dan tiga daripada pembangkang.

Tiga ADUN pembangkang itu ialah Baru Bian (PKR-Ba’kelalan), Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) dan David Wong Kee Woan (DAP-Pelawan).

Sementara 27 daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) ialah Datuk Henry Harry Jinep (Tasik Biru), Dennis Ngau (Telang Usan), Datuk Dr Juanda Jaya (Jemoreng), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Majang Renggi (Samalaju), Datuk Snowdan Lawan (Balai Ringin), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew (Piasau), Dr Annuar Rapaee (Nangka), Jefferson Jamit Unyat (Bukit Goram), Datuk Idris Buang (Muara Tuang), Datuk Amar Jamilah Anu (Tanjong Datu), Datuk Dr Penguang Manggil (Marudi).

Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (Pantai Damai), Yussibnosh Balo (Tellian) Datuk Liwan Lagang (Belaga), Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Datuk John Sikie Tayai (Kakus), Datuk Ding Kuong Hiing (Meradong), Wilson Nyabong Ijang (Pelagus), Aidel Lariwoo (Sadong Jaya), Datuk Mohd Naroden Majais (Gedong) Ripin Lamat (Lambir), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (Samariang), Datuk Seri Huang Tiong Sii (Repok), Safiee Ahmad (Daro) dan Gerald Rentap Jabu (Layar).

Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar kemudiannya membuka laluan bagi usul itu diundi dan disokong sebulat suara oleh semua anggota Dewan Undangan Negeri.

Abdul Karim semasa membentangkan usul itu berkata jawatankuasa perundingan itu akan mempunyai 14 anggota daripada semua parti politik dalam Dewan Undangan Negeri untuk menentu dan bersetuju dengan representasi hujahan untuk dibawa perwakilan Sarawak dalam Jawatankuasa Khas MA63.

Katanya jawatankuasa perundingan itu juga ditubuhkan bagi mengutarakan dan melindungi kepentingan, hak dan kedudukan istimewa Sarawak seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan dan untuk memenuhi harapan rakyat Sarawak bagi mendapatkan lebih kuasa autonomi dan penurunan kuasa kepada kerajaan negeri.

“Mekanisme untuk menentu dan bersetuju dengan representasi kepada Jawatankuasa MA63 dalam melindungi perkara berkenaan adalah menerusi penubuhan jawatankuasa perundingan di bawah Perintah Tetap 89 dan Artikel 24 Perlembagaan Negeri,” katanya.

Pada 10 Okt lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mengumumkan nama 16 anggota Jawatankuasa Khas itu yang diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyemak dan menyelaraskan MA63.

Anggota lain jawatankuasa itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Lainnya ialah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kerja Raya Baru Bian, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah, Peguam Negara Tommy Thomas, Profesor Undang-Undang Universiti Malaya Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Zaleha Rose Pandin dan Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: