Lepas Dewan Rakyat, Nancy dan Kelvin berbalas kenyataan di FB pula

‘Perbalahan’ antara Anggota Parlimen YB Datuk Seri Hjh Nancy Shukri dan Anggota Parlimen Bandar Kuching YB Dr Kelvin Yii berlarutan ke luar sesi Dewan Rakyat.

‘Perbalahan’ itu berkisar mengenai perjuangan menuntut hak autonomi Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan menerusi sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada malam Isnin.

Menerusi catitan di FB semalam, Hjh Nancy berkata Dr Kelvin harus menyokong Anggota Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam hal menuntut kembalinya hak-hak Sarawak dibawah MA63.

“Tidak kira dari parti politik manapun, sebagai seorang rakyat Sarawak di manakah semangat perjuangan YB Bandar Kuching untuk Sarawak,” jelasnya.

Menurutnya, YB Bandar Kuching patut berasa malu kerana cuba menghalangnya daripada bercakap walaupun beliau cuba menjawab soalan YB Bandar Kuching selepas memberi peluang untuk mencelah.

“Sekurang-kurang jangan menghalang saya jika YB Bandar Kuching tidak mahu menyokong saya dalam isu MA63.

“Ingat YB Bandar Kuching, sebagai anak Sarawak jangan kamu menjadi seperti kacang melupakan kulit,” katanya.

Dr Kelvin menerusi catitan FB semalam mempertahankan dakwaan netizen yang mengatakannya tidak patriotik terhadap Sarawak.

“Ada tak saya mengatakan saya tidak menyokong usaha untuk mengembalikan hak (Sarawak) atau menentang apa yang terbaik untuk Sarawak,” soalnya.

Jangan memutarbelitkan apa yang diperkatakannya, tegas Dr Kelvin.

Menurutnya, beliau tidak senang apabila didakwa ‘lupakan negeri sendiri’.

Video percanggahan pendapat antara mereka berdua di Dewan Rakyat menjadi viral di media sosial.

Dr Kelvin mencelah ketika Hjh Nancy menyampaikan ucapan perbahasan Belanjawan 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: