Lemantak Pizzalano di Sarikei

Di sebalik sijil kemahiran dimiliki, anak muda ini lebih senang memilih untuk berniaga lemantak, hidangan tradisi popular di Sarawak, yang boleh dinikmati sebagai sarapan pagi atau minum petang.

Namun, lemantak di gerai jualan lepasan Institut Kemahiran Belia Negara Miri (IKBN) ini bukan sekadar tumpik biasa, sebaliknya diadun dengan resipi moden menggunakan perasa unik.

Lebih istimewa, lemantak yang popular dengan nama Pizzalano itu satu-satunya di Sarawak yang hanya terdapat di Jalan Alamanda Kampung Seberang, Sarikei.

Pengusahanya, Awangku Mohammad Farhan Awangku Bolhassan, 21, berkata, hidangan istimewa itu diadun dengan resipi diwarisi daripada nenek moyangnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengambil inisiatif menambahkan lagi bahan perasa untuk menaikkan lagi selera, selain membuatkan ramai pengunjung tertarik dengan juadah itu.

“Idea menambah baik dan inovasi terhadap resipi Pizzalano ini hasil daripada usaha saya sendiri. Ibu saya juga banyak membantu mengajar dannmenyediakan bahan bersesuaian,” katanya.

Awangku Mohammad berkata, sambutan baik pelanggan terhadap hidangan itu membakar semangatnya untuk terus berjuang bagi memastikan makanan tradisi itu tidak lenyap dek zaman dan terus dikenali ramai, terutama anak muda.

Katanya, gerai lemantak diusahakannya dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula jam 2 petang hingga 4 petang.

“Saya mempelbagaikan menu iaitu daripada biasa hingga keju. Setiap keping dijual pada harga RM3 hingga RM5 Syukur, saya mampu melariskannya sehingga melebihi 100 keping sehari walaupun beroperasi di depan rumah,” katanya. (Sumber FB Aritok)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: