‘Kita sik perlu lagik bebaris nunggu feri’, Julaihi, apabila Jambatan Rambungan siap 2022

MENYEDARI setiap tahun bilangan kenderaaan menggunakan feri Batang Rambungan semakin meningkat, kerajaan Sarawak tidak mahu berlengah lagi untuk membina jambatan yang bakal memendekkan masa perjalanan pengguna jalan Kuching-Lundu-Sematan.

Ini akan menggantikan perkhidmatan feri Rambungan.

“Purata jumlah kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri Batang Rambungan setiap bulan adalah lebih kurang 85,000 buah sebulan dan setiap hari kira-kira 2800 buah sehari.

“Peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan kemudahan feri Batang Rambungan menunjukkan bahawa laluan jalan pesisir menjadi pilihan utama penduduk di kawasan ini dan kawasan sekitarnya.

“Barisan kenderaan yang menunggu untuk menaiki feri juga panjang lebih-lebih lagi apabila tiba musim perayaan dan hujung minggu,” kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, YB Datuk Julaihi Narawi.

Pada majlis upacara pecah tanah jambatan Rambungan di Rambungan, Lundu dekat Kuching pada 24 November 2019 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, beliau menjelaskan spesifikasi jambatan itu:-

a) Jenis cable-stayed yang bernilai kontrak RM98.5 Juta
b) Panjang keseluruhan 560 metar- 2 lane single carriageway (JKR R5)
c) 255 meter approach Road (Sebelah Kuching), 560 meter approach (Sebelah Lundu).
d) Tempoh pembinaan adalah 36 Bulan (3 tahun).

Jambatan ini bakal menjadi landskap ikonik baru sepanjang jalan Lundu-Sampadi-Kuching.

“Jambatan ini juga akan dilengkapi dengan decorative lighting feature seperti yang ada pada Jambatan Darul Hana di Waterfront Kuching di mana apabila siap kelak akan menjadi tarikan pelancongan di samping membuka peluang perniagaan dan memeriahkan lagi suasana di sepanjang Jalan Lundu-Sampadi ini terutamanya sebelah malam,” jelasnya.

Apabila jambatan ini siap kelak, perjalanan melalui Jalan Lundu-Sampadi ini tidak lagi terhad mengikut masa operasi feri dan tempoh perjalanan dari bandar Kuching Daerah Lundu juga dapat dipendekkan, katanya.

“Kita sik perlu lagik bebaris nunggu feri” kadang-kadang sampei sejam “mun nak nyeberang” bila hujung minggu dan juak musim perayaan.

Menurutnya, dengan pembinaan jambatan dan jalan pesisir, ia membuktikan kerajaan Negeri mengutamakan pembangunan dan keperluan rakyat di luar bandar.

“Kita sik pernah lupak ngan orang luar bandar, kita maok dengan adanya jaringan jalan raya dan jambatan maka hasil seperti produk pelancongan, perikanan, pertanian, dapat dijual/dipasarkan dengan lebih mudah dan cepat seterusnya secara sik langsung dapat meningkatkan pendapatan rakyat bukan hanya di kawasan Tanjung Datu tetapi di kawasan sekitarnya.
 
Siapnya Jambatan ini juga, maka laluan ini akan menjadi lebih sibuk dengan dilalui lebih banyak kenderaan dan lebih banyak pengunjung kerana lebih mudah dan cepat.

“Apabila pengunjung semakin ramai, saya berharap penduduk yang tinggal di sepanjang laluan ini mengambil peluang untuk menyediakan produk-produk hasil pertanian dan perikanan untuk dijual kepada pengunjung-pengunjung yang datang.

“Selain itu, pembukaan tanah untuk perusahaan sektor pertanian dijangka akan menjadi semakin rancak dan memberi pulangan lebih baik kepada rakyat di kawasan ini yang mengambil bahagian,” ujarnya.

 
Menjelaskan lanjut mengenai pembinaan jalan pesisir, katanya, kerajaan Sarawak telah meluluskan lapan buah jambatan untuk menggantikan bailey bridge di sepanjang laluan Kuching-Sampadi-Lundu yang sedang dalam pembinaan sekarang ini bagi melengkapkan pembinaan jalan pesisir selain dari pembinaan jambatan Batang Rambungan.  

“Lapan buah jambatan yang saya sebutkan tadi Insyaallah dijangka siap pada penghujung tahun ini dan dijangka boleh digunakan pada tahun hadapan,” katanya.
 
Katanya,projek pembinaan jalan pesisir sepanjang 896KM dari selatan ke utara Sarawak merupakan usaha Kerajaan GPS Sarawak dalam meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar melalui program Jaringan Jalan Pesisir Pantai.

Projek ini merangkumi pembinaan jambatan-jambatan yang ada di sepanjang laluan jalan pesisir bagi menggantikan semua kemudahan feri yang terdapat di sepanjang laluan tersebut. Selain itu, jalan pesisir sedia ada akan dinaiktaraf dan dibaik pulih.

Selain dari projek jalan Pesisir, kerajaan juga meluluskan projek Jalan Utama Kedua yang terletak di antara jalan pesisir dan Pan Borneo Highway, jelasnya.

“Siapnya kedua-dua projek jalan ini nanti dapat memendekkan perjalanan dari Kuching ke Bahagian Simanggang, Betong, Sarikei dan Seterusnya Ke Sibu. Semua projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan GPS Sarawak.

“Kawasan-kawasan baru juga dapat dibuka contohnya untuk pertanian bagi membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi apabila siapnya dua-dua projek ini nanti,” jelasnya.
 
Projek pembinaan jalan pesisir yang sedang dilaksana ini dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam jangka masa lima hingga enam tahun.

Apabila Jalan Pesisir Pantai, Second Trunk Road dan juga Lebuhraya Pan Borneo siap kelak, ia dijangka dapat membantu memudahkan usaha kerajaan Sarawak dalam merealisasikan transformasi pembangunan ekonomi Sarawak secara holistik.

“Kita juga yakin dan percaya dengan adanya “connectivity” perhubungan yang lebih baik di Sarawak akan mengubah landskap sosio-ekonomi secara signifikan bukan sahaja untuk rakyat di kawasan bandar-bandar utama, malah untuk rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar yang terletak di kawasan pesisir pantai mahupun di pedalaman Sarawak,” katanya.

[Gambar kredit kepada FB Komunikasi Korporat JKR Sarawak]
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

%d bloggers like this: